Kerajaan pusat salur RM6.5 juta jayakan program pembangunan tukun tiruan

Bernama
Jun 25, 2023 22:00 MYT
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain (dua, kiri) melihat tukun tiruan yang diturunkan pada Program Melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda Juvenil (Konservasi) di perairan Pulau Kapas hari ini. - Foto BERNAMA
MARANG: Jabatan Perikanan menerima peruntukan sebanyak RM6.5 juta daripada kerajaan pusat bagi menjayakan program pembangunan dan pemantauan tukun tiruan di perairan Semenanjung dan Sabah untuk tempoh 2021 hingga 2023.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata untuk tahun ini, sebanyak RM1.5 juta telah disediakan pihaknya untuk melabuhkan 57 unit tukun tiruan penghalang pukat tunda juvenile (konservasi) di lima negeri membabitkan perairan Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah dan Selangor.
"Setiap negeri akan memperoleh kira-kira RM360,000 dengan bilangan tukun tiruan bergantung kepada proses perolehan sebut harga yang dibuat.
"Sebenarnya kami peruntukkan tukun ini khusus untuk perairan pantai timur dan Johor timur serta utara pantai barat kerana perairan kita luas, di situ sekali gus sebagai usaha untuk tingkatkan stok populasi ikan kita," katanya selepas program melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Adnan berkata di Terengganu, Jabatan Perikanan telah memperuntukkan RM360,000 pada tahun ini bagi melabuhkan 12 unit tukun tiruan iaitu masing-masing enam di perairan Batu Buruk dan perairan Pulau Kapas.
"Hasil pelabuhan tukun ini akan membantu menangani isu kekurangan sumber perikanan dan pendapatan nelayan setempat serta dijangka akan memberi manfaat kepada 8,635 orang nelayan di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Azman berkata kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah penting dalam menjamin keberhasilan ekonomi sektor perikanan terutamanya di Terengganu yang mempunyai Zon Ekonomi Eksklusif seluas 87 kilometer persegi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang setiap tahun salurkan antara RM250,000 ke RM300,000 kepada Terengganu untuk labuhkan tukun tiruan.
"Di peringkat kerajaan negeri pula, kami peruntukkan RM1 juta pada tahun lepas dan tahun ini bagi menghasilkan 41 unit tukun tiruan, dan ketika ini ia masih dalam proses perolehan," katanya.
-- BERNAMA
#kerajaan pusat #peruntukan #Tukun Tiruan #jabatan perikanan
;