Kerajaan Pusat lulus RM50 juta bagi atasi masalah banjir di Kota Belud

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 16, 2017 11:21 MYT
Antara lain mesyuarat dijangka membincangkan jalan penyelesaian terbaik pengurusan banjir yang melanda daerah tersebut.
Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan RM50 juta bagi menangani masalah banjir bagi fasa pertama di daerah Kota Belud.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM140 juta yang diperlukan bagi menangani masalah banjir daerah itu.
"Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meluluskan RM50 juta khusus untuk Kota Belud.
"Ia dilulus berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran JPS Sabah," jelasnya selepas Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana daerah Kota Belud yang diadakan pagi tadi.
Tambah Abdul Rahman, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, laporan JPS telah membentangkan tiga fasa bagi menangani masalah banjir daerah itu.
"Musibah yang melanda di daerah ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Sabah.
"Dan kerajaan akan meluluskan RM90 juta lagi yang diharap dapat membantu menyelesaikan baki dua fasa yang dibentangkan JPS," tegasnya.
Menurutnya peruntukan terbabit akan merangkumi projek pengorekan pasir dan pengambilan batu di Sungai Gurong-gurong iaitu sungai utama di daerah itu.
"Susulan bencana gempa bumi pada 2014 lalu, Sungai Gurong-gurong telah menjadi cetek.
"Ini kerana batu-batu telah memenuhi sungai dan menyumbang kepada banjir besar yang berlaku.
"Justeru saya yakin dengan peruntukan dan perancangan sedia ada akan menyelesaikan sepenuhnya isu banjir di sini," jelasnya lagi.

@501Awani Kerajaan akan luluskan RM90 juta lagi untuk fasa kedua pelan pengurusan banjir Kota Belud secepat mungkin @mpkotabelud pic.twitter.com/e0y6nHDsbZ

— Syah Hairizal (@syahhairizal) December 16, 2017
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain pemimpin masyarakat setempat, mesyuarat turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
#Abdul Rahman Dahlan #banjir #menteri #Parlimen #Rahman Dahlan #Salleh Said Keruak
;