Kerajaan pusat dan negeri sama-sama bangunkan Malaysia, Sarawak - Najib
Astro Awani
Mac 26, 2016 15:08 MYT
Mac 26, 2016 15:08 MYT
Sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri sentiasa bersama-sama membangunkan Sarawak seiring kemajuan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen kerajaan pusat adalah untuk terus membantu Sarawak membangun setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung.
"Perjalanan membangunkan negara pasti memerlukan masa yang agak panjang. Ia tidak boleh selesai dalam satu penggal dan kita sekarang dalam perjalanan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju," katanya.
Merupakan kunjungan ke-48 kali di Sarawak, Najib sentiasa menjanjikan yang terbaik untuk negeri berkenaan.
"Ini kunjungan kali ke-48 saya ke Sarawak sejak Perdana Menteri. Seperti kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, setiap kali saya datang tidak dengan tangan kosong. Saya pasti membawa bersama dana peruntukan untuk membantu Sarawak," katanya.
Ciri-ciri tersebut dapat dilihat sekarang dengan pembangunan berterusan yang berlaku di Sarawak.
Najib berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir ke Majlis Bersama Warga Emas di Sibu pada pagi sabtu.
Majlis berkenaan adalah anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan ia dihadiri kira-kira 2,000 warga emas daripada sekitar Sibu.
Turut hadir Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri, Tan Sri James Jemut Masing; Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan ADUN Nangka Dr Annuar Rapa'ee.
Majlis pagi tadi merupakan program pertama lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Sarawak bermula hari ini hingga esok.
#Barisan Nasional
#berita terkini Najib
#kemajuan Sarawak
#kerajaan negeri Sarawak
#kerajaan pusat
#Najib lawat Sarawak
#Najib Razak
#pilihanraya Sarawak
#PilihanRayaSarawak