Kerajaan pusat akan bina 9,999 rumah di Pulau Pinang
Bernama
Mei 1, 2013 13:18 MYT
Mei 1, 2013 13:18 MYT
Bagi memberi keselesaan kepada rakyat Pulau Pinang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam semalam mengumumkan kerajaan Pusat akan membina 9,999 rumah kos sederhana rendah dan mampu milik di tiga kawasan di negeri itu.
Katanya kerajaan Persekutuan melalui 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah menandatangani perjanjian untuk membeli tanah bagi membina 2,222 rumah kos sederhana rendah dan 1,111 rumah mampu milik, masing-masing di Air Putih, Air Itam dan Paya Terubong, yang lengkap dengan pelbagai kemudahan rekreasi.
"Dalam lawatan saya ke Pulau Pinang baru-baru ini, saya berjanji untuk menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini. Kini, kita akan membina kira-kira 10,000 unit rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik di Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 warga Pulau Pinang pada majlis ramah mesra perdana menteri bersama rakyat di Padang Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini Selasa malam.