Kerajaan Pulau Pinang minta lakukan pembenihan awan

Astro Awani
April 14, 2016 19:08 MYT
Penyusutan ketara empangan-empangan di lembangan Sungai Muda di Kedah, akan turut memberi kesan kepada Pulau Pinang dan Perlis. Gambar ini diambil pada dua tahun lalu. - Foto Bernama.
Kerajaan Pulau Pinang berharap operasi pembenihan awan yang bermula pada Rabu akan dipertingkatkan kepada skala yang lebih besar, susulan fenomena El Nino yang berisiko menjejaskan kira-kira empat juta penduduk di keempat-empat negeri di wilayah utara.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata walaupun empangan-empangan di Pulau Pinang masih mampu bertahan untuk tempoh dua bulan lagi, penyusutan ketara empangan-empangan di lembangan Sungai Muda di Kedah, akan turut memberi kesan kepada Pulau Pinang dan Perlis.
“Saya dan YB Chow (Kon Yeow) dapat maklum balas dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan ini adalah keadaan yang amat genting.
“Walaupun keadaan empangan masih boleh bertahan tapi keadaan Empangan Beris amat membimbangkan kerana hanya boleh bertahan satu bulan. Di Pulau Pinang kita boleh bertahan selama dua bulan. Tapi sekiranya lembangan Sungai Muda hanya boleh bertahan satu bulan, bukan sahaja seluruh Kedah dan Perlis malah Pulau Pinang (dikhuatiri terjejas),” ujar Guan Eng.
Justeru, Guan Eng berharap operasi pembenihan awan di kesemua kawasan tadahan air di wilayah utara akan dijalankan pada skala yang lebih besar bagi mengurangkan kesan fenomena El Nino berpanjangan yang menyebabkan taburan hujan lebih rendah di seluruh negara tahun ini.
Guan Eng berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di George Town pada Khamis.
Paras air
Sementara itu, laman web rasmi PBAPP pada Khamis menunjukkan paras air di Empangan Air Itam berada pada tahap 59.9 peratus berbanding 69.1 peratus pada awal bulan ini.
Bagi Empangan Teluk Bahang pula, paras air mencatat bacaan 61.5 peratus berbanding 66.3 peratus pada 1 April lepas.
Operasi pembenihan awan yang dijalankan di 12 lokasi di lima negeri di semenanjung pada Rabu hanya berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata operasi di Empangan Timah Tasoh (Perlis), Empangan Muda, Pedu, Beris dan Ahning (Kedah), Empangan Air Hitam dan Teluk Bahang (Pulau Pinang), Empangan Bukit Merah (Perak) dan Empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan (Melaka) gagal menghasilkan hujan.
Shahidan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata operasi itu akan diteruskan pada Khamis.
Operasi pembenihan awan itu dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
#Empangan Sungai Muda #fenomena El Nino #Lim Guan Eng #pembenihan awan
;