Kerajaan Pulau Pinang akan laksana sistem ladang babi tertutup
Bernama
Mei 21, 2016 14:18 MYT
Mei 21, 2016 14:18 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan sistem ladang tertutup bagi penternakan babi di negeri itu dalam usaha mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan bau busuk di kawasan ladang berkenaan.
Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sejak tiga tahun lepas, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih 150 penternak babi di negeri itu bagi memaklumkan pelaksanaan ladang tertutup.
"Saya sendiri telah melawat ladang (babi) tertutup di Perak dan saya lihat ia lebih sistematik dan berkesan terutama dalam menjaga alam sekitar, jadi saya rasa penternak di negeri ini perlu mengambil langkah yang sama.
"Malah sejak tiga tahun lepas kerajaan negeri telah maklumkan perkara ini kepada penternak babi terutama mereka di Kampung Selamat di sini iaitu sebanyak 77 ladang dan di Valdor, Sungai Bakap (50 ladang) kerana dua tempat itu mempunyai ladang babi yang banyak.
"Selain dua kawasan itu, terdapat kawasan di bahagian pulau yang terdapat ladang babi iaitu Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sungai Kereh, di Air Melintas Besar berikutan masalah pencemaran ladang babi dari Kampung Selamat.
Penduduk di kawasan itu mengalami masalah pencemaran dan bau busuk dari sungai kira-kira dua kilometer sejak 20 tahun lepas dan masalah itu masih belum dapat diatasi sehingga kini.
Dr Afif berkata penternak babi perlu berubah dari sekarang dan jika mereka gagal melaksanakan sistem ladang tertutup kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup ladang babi mereka.
Beliau berkata pihaknya mengakui kos bagi melaksanakan fasiliti ladang tertutup itu agak mahal bagaimanapun penternak akan memperoleh semula keuntungan mereka selepas empat tahun malah sistem itu lebih baik dan mesra alam.
Selain itu Dr Afif berkata bilangan babi yang dibela di ladang di Pulau Pinang adalah sebanyak 300,000 ekor setiap tahun dan turut dieskport.
Tambah Dr Afif, sistem ladang tertutup itu antara rancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah penduduk di situ yang terpaksa menghidu bau busuk dari Sungai Kereh.
"Ketika ini air kumbahan dari ladang babi di Kampung Selamat terletak kira-kira lima kilometer dari sungai itu mengalir masuk ke dalam Sungai Kereh sehingga menyebabkan airnya hitam dan busuk.
"Masalah itu bukan sahaja menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau busuk malah pesawah di kawasan berkenaan juga menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air," katanya.
Wakil penduduk di situ Rahim Daud, 72, berkata penduduk di situ bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk malah ada yang terpaksa menanggung sakit seperti batuk berpanjangan, masalah sesak nafas dan gatal di kulit.
Katanya beliau yang tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun lepas terpaksa menghidu bau busuk itu setiap hari dan bau berkenaan lebih busuk pada waktu malam.
"Kami berharap kerajaan negeri dapat mengatasi segera masalah bau busuk itu kerana sudah terlalu lama penduduk di sini terpaksa menghidu bau berkenaan," katanya.