Kerajaan Pulau Pinang akan kaji pembinaan ART atasi kesesakan trafik
Bernama
September 30, 2018 04:58 MYT
September 30, 2018 04:58 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengkaji pembinaan sistem Autonomous Rail Rapid Transit (ART) di negeri ini dalam usaha mengatasi masalah kesesakan trafik di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata memandangkan perkara itu (ART) baharu sahaja dimaklumkan dan diberi penerangan tentang keberkesanannya bagi mengatasi kekangan trafik di Pulau Pinang, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu.
"Kita akan melihat terlebih dahulu berhubung pembinaan ART seperti disarankan oleh Penang Forum," katanya pada sesi soal jawab Forum Awam mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di sini pada Ahad.
Chow berkata ART merupakan produk daripada China Railway Construction Corporation dan syarikat berkenaan telah datang ke Pulau Pinang minggu lepas dan bertemu dengan beliau serta membentangkan ART tersebut.
Beliau berkata China Railway Construction Corporation turut menyatakan minat untuk menjalankan projek tersebut di negeri ini.
"Jika kita lihat video yang ditayangkan, tren ART bergerak di lebuh raya yang amat luas, lapan hingga 10 lorong. Di Pulau Pinang tak ada lebuh raya yang ada lapan hingga 10 lorong. Maka, kita akan teliti dan lihat kesesuaiannya," kata beliau.
Dalam pada itu Penang Forum sekali lagi menegaskan pendirian bahawa membina lebih banyak jalan raya bukanlah suatu penyelesaian untuk menangani masalah kesesakan kronik di Pulau Pinang.
Anggota Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Dr Lim Mah Hui berkata jalan terbaik untuk menangani kesesakan itu adalah dengan menambah baik jalan raya sedia ada serta menaiktaraf pengangkutan awam di negeri ini.
"Pembinaan ART merupakan satu pilihan yang bagus berbanding LRT (Sistem Transit Aliran Ringan). Ia lebih 'eco friendly'. Selain itu ia lebih menjimatkan berbanding LRT yang memerlukan kos sehingga RM400 juta," katanya.
Lim berkata pembinaan ART juga mengambil masa yang lebih cepat kerana tidak menggunakan landasan.
PTMP adalah projek yang dimulakan Kerajaan Negeri dengan anggaran kos RM46 bilion, menampilkan terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel selain sambungan perkhidmatan bas yang meluas di bahagian pulau dan tanah besar.
-- BERNAMA
#art
#China Railway Construction Corporation
#Chow Kon Yeow
#kereta api
#kesesakan lalu lintas
#Ketua Menteri
#Lim Mah Hui
#LRT
#Penang Forum
#pengangkutan awam
#projek
#pulau pinang
#trafik