Kerajaan puas hati kecemerlangan PDRM - PM

Fareez Azman
Mac 25, 2019 11:08 MYT
Penurunan statistik kadar jenayah membuktikan komitmen PDRM dalam memenuhi harapan masyarakat yang semakin peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan.
Kerajaan berpuas hati dengan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurunkan kadar indeks jenayah di negara ini sebanyak 11.9 peratus pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan sentiasa prihatin dengan tugas kepolisian yang semakin mencabar dalam menangani jenayah kompleks serta ancaman militan.
“Kekalkan momentum kecemerlangan penurunan indeks jenayah negara. Pada tahun 2018 merekodkan 88,662 kes berbanding nilai ambang sasaran 100,000 kes berbanding 2017 dengan 100,611 kes.
"Ia mencatatkan penurunan 11.9 peratus. Statistik ini membuktikan komitmen PDRM dalam memenuhi harapan masyarakat yang semakin peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka,” jelas Dr Mahathir ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Polis 212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Isnin
Malah, ujar Perdana Menteri, keberkesanan PDRM menangani ancaman Daish membuktikan bahawa pasukan risikan dimiliki agensi itu mampu menangkis ancaman pengganas.
Kata Dr Mahathir, kerajaan sentiasa menyedari tugas kepolisian bukan sesuatu mudah apabila berhadapan situasi cabaran keselamatan negara semakin kompleks.
“PDRM bukan sahaja berhadapan cabaran konteks jenayah konvensional terroris, adakala amat luar biasa menuntut agensi keselamatan PDRM menangani secara tegas strategik dan berkesan.
"Kerajaan berpuas hati tahap profesionalism keupayaan diperlihat oleh anggota keselamatan PDRM memikul amanah termasuk menangani ancaman Daish dalam negara.
“Sehingga kini 454 anggota Daish telah ditangkap polis. Kerajaan percaya ini dapat dicapai PDRM kerana memiliki pasukan risikan mampu menangani isu kompleks membabitkan kumpulan militan ini,” tambah Perdana Menteri lagi.
Mengulas mengenai tambahan peruntukan yang diperlukan PDRM dalam menambah baik kelengkapan serta fasiliti yang terkini, Dr Mahathir berkata, kerajaan amat prihatin akan keperluan itu dan akan mempertimbangkannya.
Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
BACA: Rakyat diingatkan beri kerjasama pada PDRM - Tun M
#daish #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Polis Diraja Malaysia
;