Kerajaan promosi produk tempatan di pasaran antarabangsa secara kolektif, berstruktur

Bernama
Januari 7, 2024 06:00 MYT
Ahmad Zahid bersama sebahagian daripada peserta dan pelawat sewaktu merasmikan MoodaFest 2024 di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, pada Ahad. - Facebook Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha untuk mempromosikan produk tempatan di pasaran antarabangsa secara kolektif dan berstruktur, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ini kerana Malaysia mempunyai pelbagai produk tempatan, terutama yang dihasilkan usahawan muda yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, namun ia perlu dipromosikan secara berterusan oleh kerajaan.
"Pada hemat saya galakan ini mesti berstruktur, bukan secara hangat hangat tahi ayam sahaja.
"Kita tahu dalam kalangan anak muda ini mempunyai kekangan dan (dengan) rangkaian antarabangsa KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Mara (Majlis Amanah Rakyat) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kita akan bantu mereka bersama Persatuan Francais Malaysia dan lain-lain badan bukan kerajaan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan MoodaFest 2024 di Rumah Tangsi di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Mara, akan memilih produk berpotensi yang dihasilkan lebih 500,000 usahawan berdaftar di bawah agensi itu serta Kreatif Malaya, untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.
"Penghasilan produk ini juga akan dibantu bukan sahaja dari segi pembiayaan, tetapi juga dari segi mewujudkan pasaran antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#usahawan tempatan #pasaran antarabangsa #produk tempatan #Zahid Hamidi
;