Kerajaan proaktif tangani isu ekonomi bayangan, tingkat kadar pematuhan cukai

Bernama
Disember 11, 2024 22:54 MYT
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa proaktif dalam menangani isu ekonomi bayangan melalui kaedah meningkatkan kadar pematuhan cukai, mengekang ketirisan hasil serta meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem percukaian negara.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata saiz ekonomi bayangan di Malaysia secara purata adalah dianggarkan sebanyak 21.2 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh 2010-2019 berbanding bagi 2000-2009 yang mana saiz ekonomi bayangan ketika itu adalah 30.2 peratus.
"Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) telah melengkapkan penilaian risiko kebangsaan yang mengkaji risiko ancaman atau jenayah kewangan terhadap Malaysia.
"Oleh itu, Malaysia sebagai anggota Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) masih boleh dipenuhi, di samping pelbagai usaha yang sentiasa dipergiatkan menerusi tindakan penguatkuasaan dan pengawasan yang lebih aktif melalui usaha sama agensi-agensi yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa penggulungan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas sepuluh Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskannya.
Mengulas lanjut, Lim berkata koordinasi antarabangsa adalah berkesan dalam memastikan sesuatu negara dapat mencapai tahap yang memuaskan dalam membendung risiko aktiviti pencegahan pengubahan wang haram, membanteras pembiayaan keganasan dan polisi sekatan kewangan sasaran (AML/CFT dan TFS).
Dalam hal ini, katanya koordinasi antarabangsa melalui FATF amat penting di mana Malaysia sebagai ahli FATF terus mengekalkan pematuhan dan standard yang tinggi terhadap piawaian dan saranan FATF sebagai garis panduan yang jelas terutamanya menjelang penilaian bersama pada Februari tahun depan.
"Berdasarkan penilaian bersama pada 2015, Malaysia mendapat penarafan yang setanding dengan negara-negara maju lain dalam usaha membendung pendedahan negara terhadap aktiviti AML/CFT dan TFS.
"Menerusi kerjasama dan usaha sama semua pihak, Malaysia menetapkan sasaran untuk mendapatkan penarafan yang memuaskan pada tahun depan sekali gus mengukuhkan regim AML/CFT dan TFS di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Lim berkata institusi pelapor di bawah rang undang-undang tersebut boleh melaksanakan tatacara dan kawalan dalaman yang sepadan dengan risiko, saiz dan kerumitan operasi perniagaan institusi berkenaan.
Oleh itu, peruntukan di bawah rang undang-undang berkenaan tidak akan meningkatkan kos pematuhan dan memberi kesan kepada entiti kecil seperti firma guaman dan syarikat sedia ada.
Di samping itu, Bank Negara Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dan sesi libat urus bersama institusi pelapor serta mengeluarkan panduan amalan terbaik untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya.
Mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap penggunaan mata wang kripto pula, Lim berkata kerajaan setuju bahawa ia perlu diperkukuhkan selaras dengan saranan yang dicadangkan berdasarkan Dapatan Penilaian Risiko Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2023.
"Usaha ini perlu untuk memperkukuh kapasiti semua pihak yang terlibat dalam penyiasatan dan penguatkuasaan jenayah kewangan terutamanya mendalami pemahaman tentang risiko yang muncul dan modus operandi pengubahan wang haram memandangkan ancaman yang dihadapi akibat kemajuan teknologi," tambahnya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
#isu ekonomi bayangan #Lim Hui Ying #Kementerian Kewangan #cukai
;