Kerajaan proaktif tangani ajaran sesat masuk ke negara ini
Bernama
April 28, 2024 08:00 MYT
April 28, 2024 08:00 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menyekat penyebaran ajaran sesat ataupun fahaman yang bertentangan dengan akidah umat Islam di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, semua pihak berkaitan termasuk agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkerjasama menangani perkara tersebut.
"Dimensi memberikan pencerahan dan kefahaman kepada masyarakat itu dimainkan oleh banyak agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
"Apa yang paling penting sekarang ini dalam kerangka yang ada pada hari ini adalah kita memainkan peranan secara lengkap dan melengkapi dengan pihak berkuasa yang menjalankan penguatkuasaan undang-undang manakala agensi-agensi lain memberi kefahaman kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena, dekat sini, pada Sabtu.
Zulkifli diminta mengulas mengenai isu agensi mubaligh tertentu yang dikatakan menyebarkan fahaman di media sosial terutama TikTok.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengambil berat isu-isu seumpama itu dan sentiasa melakukan pemantauan dan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan hal itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, adalah penting program dakwah diperkasakan menerusi kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Tujuan saya turun ke negeri-negeri, Sarawak, Sabah, Kelantan, Kedah dan Perlis adalah untuk melihat bagaimanakah kerjasama melibatkan kerajaan Pusat, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga negeri-negeri untuk gerakan dakwah secara menyeluruh.
"Jadi diharapkan selepas ini hubungan kerjasama dakwah antara negeri dan kerajaan pusat dapat memperkukuhkan lagi agenda dakwah negara selain pendakwah juga dapat meneroka bentuk dakwah baharu agar lebih menarik dan lebih ramai masyarakat untuk diberikan pencerahan berkaitan agama," katanya. - BERNAMA