Kerajaan prihatin keinginan rakyat miliki rumah sendiri - PM Najib

Hafiz Marzukhi
September 18, 2017 12:28 MYT
Najib menyempurnakan gimik perasmian Penyerahan Kunci Rumah Rent-To-Own Projek Perumahan Rakyat Sri Aman Jinjang Kepong dan Pelancaran Perumahan Transit Belia Kuala Lumpur di PPR Sri Aman Jinjang, Kepong hari ini. -fotoBERNAMA
Kerajaan memperuntukkan jumlah subsidi terbesar bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman di Kepong yang membolehkan seunit rumah itu dijual pada harga RM35,000 seunit berbanding nilai asalnya iaitu RM150,000 seunit.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat yang ingin untuk memiliki rumah.
"Tan Sri Noh (Omar) beritahu saya bahawa harga pasaran rumah ini adalah dalam RM200,000.
"Cuba bayangkan, pasaran nilai sedemikian tetapi kerajaan jual hanya RM35,000," kata Datuk Seri Najib.
Tambah beliau, ini bererti kerajaan bukan sahaja membina rumah untuk rakyat tetapi menambah kekayaan rakyat.
Datuk Seri Najib berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci PPR Sri Aman dan Pelancaran Transit Belia di Kepong.
Projek yang mempunyai 1,600 unit berkeluasan 700 kaki persegi ini dibina atas tapak seluas hampir empat hektar dengan kos RM216.8 juta.
#kerajaan #kurang berkemampuan #Najib Razak #Noh Omar #Perdana Menteri #PPR #Projek Perumahan Rakyat #rakyat #rumah #subsidi