Kerajaan PN prihatin, tidak zalimi rakyat - Muhyiddin

Bernama
September 24, 2020 13:20 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Beluran hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan prihatin yang memikirkan masalah rakyat, mencari jalan menyelesaikan masalah penduduk dan sama sekali tidak akan menzalimi mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata semenjak menerajui kerajaan PN, beliau amat menitikberatkan aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat kerana bagi dirinya, kerajaan yang tidak memikirkan nasib rakyat adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
"Saya tidak mahu melihat rakyat susah, menangis minta sedekah mahu makan...itu bukan kehendak saya sebagai perdana menteri.
"Sebab itu saya akan terus usahakan wang (negara) yang saya kumpul banyak-banyak bukan untuk saya. Saya tidak rasuah, segala apa yang ada yang boleh saya gunakan untuk bantu rakyat, saya akan bantu rakyat, apa yang termampu," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Tapak Pasar Tamu Beluran, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Beluran yang juga Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Samad Jambri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
#Beluran #calon #kerajaan #menteri #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #presiden #PRN Sabah #rakyat #Rasuah #Sabah #Sabah Memilih
;