Kerajaan PN perlu segera santuni tuntutan Sabah dan Sarawak - Jeniri Amir
Syafik Shukri Jalil
April 8, 2021 17:04 MYT
April 8, 2021 17:04 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera memastikan tuntutan Sabah dan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan segera.
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, jika perkara ini terus dilengahkan, ia bakal menjadi duri dalam daging seterusnya menghambat PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Ujarnya, Muhyiddin dan PN tidak mempunyai pilihan selain memastikan komitmen secara tuntas dalam memastikan segala janji dan perhitungan dalam MA63 ditunaikan segera.
“Apa yang paling penting sekarang adalah segala janji yang telah diberikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak harus ditunai tanpa melengah-lengah lagi.
“Ini kerana isu ini merupakan isu yang sudah sekian lama tertunggak dan ia sudah dibincangkan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi dan kemudian diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kini di bawah PN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Bagaimanapun ujarnya, komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu ini dibuktikan menerusi penubuhan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
Maka dengan penubuhan itu, ia diharap mampu mencari jalan penyelesaian terhadap isu berbangkit berhubung MA63.
“Saya percaya ini memancarkan satu manifestasi daripada komitmen PM untuk memastikan segala isu yang berkaitan MA63 ini dapat dituntaskan menjelang PRU yang akan datang.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan, ini akan menjadi satu lagi isu yang akan terus dibangkitkan oleh pembangkang dalam PRU ke 15 nanti,” tambahnya.
MA63 | Adakah tuntutan mampu dimuktamadkan sebelum PRU-15?
Terdahulu Muhyiddin semasa lawatan kerjanya ke Sarawak berkata, laporan serta cadangan berhubung penyelesaian isu spesifik berkaitan perundangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas MA63, minggu ini.
Tambahnya, laporan akan dibentangkan oleh tiga jawatankuasa kerja yang baru diwujudkan iaitu Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.
#Perjanjian Malaysia 1963
#MA63
#Perikatan Nasional
#Gabungan Parti Sarawak
#Jeniri Amir
#Muhyiddin Yassin
#tuntutan Sarawak Sabah