Kerajaan pintu belakang vs kerajaan perpaduan, satu pertembungan naratif
Wan Syamsul Amly
Disember 9, 2019 23:00 MYT
Disember 9, 2019 23:00 MYT
ISU kerajaan pintu belakang bermula apabila soal peralihan jawatan Perdana Menteri mula diperkatakan beralih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebelum ini mengakui akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.
Dalam satu temubual bersama Bloomberg, Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, tidak akan terlalu cerewet mengenai tempoh tepat pengambilalihan tersebut.
Usaha ke arah semua ini dipercayai bermula apabila ada kelompok yang mempercayai Anwar berpotensi tinggi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan seandainya tiada sebarang situasi luar biasa berlaku.
Cakap-cakap kedai kopi juga banyak menyebut, usaha kerajaan pintu belakang ini merupakan cara untuk mengekang Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya.
Kumpulan pertama atau lebih mudah kita namakan A yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut telah mencipta naratif terhadap langkah itu sebagai kerajaan pintu belakang untuk memberi naratif buruk kepada kumpulan kedua yang senang digelar kumpulan B.
Bagaimanapun, untuk kumpulan B, apa yang berlaku atau usaha ini adalah untuk mewujudkan kerajaan pepaduan dan bukan kerajaan pintu belakang. (kata mereka kerajaan perpaduan melibatkan parti-parti lain selain DAP).
Naratif mana yang benar atau salah, sama ada pemilihan kepada kerajaan pintu belakang atau kerajaan perpaduan adalah terpulang kepada penilaian masing-masing.
Pihak mana yang akan menjuarainya adalah mereka yang mampu menjulang naratif sendiri dengan lebih luas sekali gus diterima sebahagian besar rakyat dan ahli parti masing-masing.
Sebab tolak
Bagaimapun, ada beberapa sebab mereka yang pro naratif kerajaan perpaduan ini tidak mahukan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Andaian-andaian yang wujud itu dikatakan antaranya adalah Anwar dikatakan akan mengancam dan tidak mampu memelihara kedudukan Melayu Islam kerana dianggap liberal dan dilihat memiliki hubungan intim dengan DAP, tidak seperti yang lain.
Mereka yang percaya dengan imej Anwar sebagai pengamal LGBT juga akan mengancam status quo norma setempat.
Selain itu turut menjadi sebab adalah dikatakan pengagihan ekonomi kepada bumiputera akan menjadi tidak adil.
Anwar juga dikatakan akan menyingkirkan barisan menteri Kabinet terutama daripada Bersatu dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ada sebahagian sebab ini turut dikongsi oleh UMNO pro-naratif kerajaan pintu belakang namun mereka percaya Anwar tidak akan boleh dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sebabnya mudah dan boleh dibaca, Dr Mahathir pasti tidak akan menyerahkan jawatannya dan memberi laluan mudah kepada Anwar.
Seandainya ada usul undi tidak percaya dan Dr Mahathir berjaya diturunkan sekalipun, Anwar dikatakan masih tidak akan mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dan boleh memilih barisan menteri Kabinet baharu.
Jadi pada masa itu apa yang akan berlaku? Pasti parti Bersatu tidak akan bersetuju dengan Anwar dan pada itu juga tentu blok pembangkang sendiri akan menolak Anwar. Masa ini, Parlimen tidak boleh dinafikan boleh dibubarkan.
Bagi kumpulan di dalam parti PKR yang pro naratif kerajaan pintu belakang pula, pasti perjuangan mereka selama ini untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kerana percaya kepada bahang reformasi yang mampu dibawanya.
Mereka juga kuat berpegang tiada lagi kompromi terhadap sebarang langkah untuk menyekat usaha ke arah itu.
Satu lagi persoalan yang timbul, apakah UMNO pro naratif kerajaan pintu belakang ini tidak lagi faham dengan idea UMNO pro naratif kerajaan perpaduan?
Haruslah mereka sendiri akui, mereka faham dan tahu dengan isu berkenaan namun mungkin risau akan ketinggalan dan tidak akan memperoleh kuasa semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika kem satu lagi yang naik.
Nampak sekarang, pada akhirnya kita sendiri boleh mengerti bagaimana golongan elit yang menentang kerajaan perpaduan atau kerajaan pintu belakang ini sebenarnya risau nama mereka tidak tersenarai dalam barisan Kabinet seterusnya.
Di manakah Pas?
Pas memainkan watak bijak kerana masih mendapat jaminan tempat walaupun dari kerajaan pintu belakang mahupun kerajaan perpaduan ini.
Malahan, sepanjang tahaluf atau taawun mereka dari dahulu sehingga kini, mereka tidak pernah berebut jawatan Perdana Penteri atau menyebut mahu duduk di kerusi itu. Janji mereka mudah, asal agenda Islam boleh dibawa bersama.
Jadi, seandainya UMNO, Pas dan PKR itu boleh duduk semeja dan bersama, itu adalah bukti penyatuan keluarga besar Melayu yang menoktahkan sengketa selama berkurun sebelum ini.
Kita semua turut tahu dan maklum, mereka dahulunya daripada UMNO juga. Oleh itu, tidak ada sebab untuk kita tidak meraikan demokrasi kita.
* Wan Syamsul Amly ialah wartawan di Astro AWANI dan merupakan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#agenda
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#DAP
#ekonomi
#Islam
#kabinet
#keluarga
#Mahathir Mohamad
#PAS
#pemilihan
#Perdana Menteri
#perpaduan
#pilihan raya
#PKR
#PRU
#rakyat
#UMNO