Kerajaan PH tidak 'buang' pelan tindakan masyarakat India

Bernama
Jun 10, 2018 06:05 MYT
M. Kulasegaran (tiga, kanan) beramah mesra bersama usahawan selepas merasmikan Indian Entrepreneurship Summit 2018 di Temple of Art, Kuala Lumpur pada Ahad. - BERNAMA
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memperhalusi Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu bagi memastikan kesejahteraan kaum India khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, berkata kerajaan akan meneliti semula dan membuat penambahbaikan MIB supaya golongan sasaran iaitu kumpulan B40 menerima manfaat secara keseluruhannya.
"Tidak kisah siapa mengilhamkan idea ini...sama ada oleh MIC atau UMNO. Kandungan yang terbaik dalam pelan itu akan diguna pakai untuk memperkasakan golongan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan Masyarakat India 2018,di di sini pada Ahad.
MIB dilancarkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada April 2017 sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan kaum India bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Di bawah pelan itu, sebanyak RM500 juta turut diperuntukkan bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khusus untuk memupuk tabiat menabung bagi kaum India dalam golongan B40 itu.
Kulasegaran berkata perincian lanjut berhubung MIB dan isu lain antaranya Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) dan Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai masyarakat India yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.
Kira-kira 500 usahawan turut serta dalam sidang kemuncak tersebut yang bertujuan menjadi platform peluang perniagaan selain mempelajari selok-belok bidang keusahawanan yang semakin mencabar.
"Melalui acara ini, perniagaan yang diceburi oleh kaum India di negara ini perlu berkembang... mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia serta memberi inspirasi bagi mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka," katanya. -- Bernama
#B40 #dana saham #India #jawatankuasa khas #keusahawanan #M Kulasegaran #MIB #MIC #Najib Razak #Pakatan Harapan #Pelan Tindakan #pendapatan rendah #PNB #UMNO
;