Kerajaan PH telus isu Kampong Baru, tak macam BN - Khalid

Firdaus Azil
September 21, 2019 15:38 MYT
Tanggapan nasib Kampong Baru akan jadi seperti Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi tidak benar, kerana pembangunan itu, selain mengikut pelan induk, ia juga terikat kepada Akta 733. - Gambar fail/BERNAMA
Kerajaan memberi jaminan pembangunan Kampong Baru tidak akan menjadi seperti Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata, tanggapan bahawa nasib Kampong Baru akhirnya akan menjadi seperti dua kampung Melayu terdahulu itu adalah tidak benar, kerana pembangunan itu, selain mengikut pelan induk, ia juga terikat kepada Akta 733 iaitu Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.
Untuk rekod, Perkara 14(4) Akta itu menyebut - Perbadanan (PKB) hendaklah menjalankan fungsi di bawah subseksyen (1) dengan apa-apa cara yang perlu demi melindungi, memelihara, dan memulihara kepentingan orang Melayu.
“Abdullah Hukum, Kampung Kerinchi menjadi Bangsar South. Itu kerajaan dulu (Barisan Nasional). Dulu bila buat Abdullah Hukum, Bangsar South, ada tak master plan?. Kalau dah bentangkan master plan, lepas tu dia langgar. Apa nak kata. Saya tak boleh kata. Nanti orang marah.
“Kalau dah bentangkan macam kita buat sekarang. 240 ekar untuk warisan melayu, pusat kebudayaan, pusat perniagaan untuk orang Melayu, kalau semua dah ada, kita wartakan, kalau kita tak buat, tuan tuan boleh saman,” katanya lagi di hadapan kira-kira 2,500 hadirin sewaktu sesi Townhall Menteri Wilayah Persekutuan bersama Pemilik dan Pewaris Tanah Melayu, di sini hari ini.
BACA: 'Kekayaan Melayu di Kampong Baru terbenam dalam tanah ini'
BACA: Pembangunan Kampong Baru peluang orang Melayu kukuhkan ekonomi
Walaupun pada awalnya, jawapan beliau kurang disenangi, dan menimbulkan suasana gamat kerana membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu, namun keadaan kembali tenang selepas hadirin mendengar penjelasan menyeluruh Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Dalam pada itu, ketika menjawab satu soalan pemilik, Khalid berkata, pembangunan Kampong Bharu sama sekali tidak boleh disamakan dengan isu pemansuhan PTPTN, mengurangkan harga minyak, atau menghapuskan tol.
Jelas beliau, dana sekitar RM6 bilion hingga RM10 bilion yang kerajaan sediakan untuk dilaburkan ke atas pembangunan kawasan itu, menjamin pulangan sekitar RM30 bilion.
“Dengan tanah Kampong Baru lain. Duit kita laburkan kita nak dapat balik. Itu beza. PTPTN kita tak dapat, mansuhkan tol tak dapat (pulangan), kurangkan harga minyak tak dapat (pulangan). Dengan tanah Kampong Baru, tuan tuan sebagai pemilik, sebagai orang orang yang ada kemewahan hartanah ini, kita beli, kita bangunkan, kita jual, kita akan dapat pulangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khalid berharap agar pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru dapat mengingati kembali tujuan asal tanah itu dikurniakan oleh Sultan Selangor pada 1899, iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) bagi memastikan penempatan orang Melayu di kawasan bandar.
Ujarnya lagi, beliau mengharapkan agar mereka dapat menghormati prinsip asal kurniaan itu, kerana melalui pelan pembangunan itu sahaja orang Melayu terus dapat bersaing baik dari segi ekonomi, mahupun peratusan penduduk di Kuala Lumpur.
#Barisan Nasional #ekonomi #Kampong Baru #kerajaan #Khalid Samad #Kuala Lumpur #minyak #shah alam #Sultan Selangor
;