Kerajaan peruntuk RM5.5 juta tambah baik infrastruktur Pasar Siti Khadijah - PM Anwar
Bernama
Oktober 1, 2024 19:01 MYT
Oktober 1, 2024 19:01 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur di Pasar Siti Khadijah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI amat komited untuk membaik pulih pasar berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan ia sangat diperlukan oleh 1,500 peniaga di premis itu.
"Saya lulus peruntukan itu minggu ini dan saya minta Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (Jasri Kasim) untuk membuat pemantauan pada minggu depan mengenai kerja-kerja baik pulih yang hendak dimulakan dahulu.
"Saya lalu di pasar ini ada juga bumbung bocor serta pendawaian yang telah lama dan kalau tidak baiki segera mungkin mendatangkan bahaya seperti kebakaran dan masalah lain," katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama peniaga di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata Pasar Siti Khadijah adalah antara tarikan pelancong di Kelantan maka ia perlu dibaik pulih termasuk dicat semula supaya kelihatan lebih cantik.
"Saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) serta ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk membaiki pasar itu dengan segera," katanya.
Anwar berkata keutamaan ketika ini adalah membersihkan tandas sedia ada, menggantikan bumbung serta pendawaian yang telah lama dan rosak.
Beliau berharap apabila kerja-kerja baik pulih di pasar itu siap, para peniaga dapat memberikan kerjasama dengan menjaga kebersihan.
"Di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, jika pasar kotor sahaja akan disaman dan tarik balik lesen malah (perbuatan) beri lesen kepada orang lain (peniaga asing) juga akan dirampas. Kalau tempat itu kotor, tidak jaga kebersihan dan beri kesan maka sepatutnya ia diserah kepada Majlis Perbandaran," katanya.
Anwar juga berkata Kerajaan Persekutuan amat mengambil berat pembangunan di negeri itu dan ia telah dimaklum kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V serta Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
"Kita mengambil berat dan saya ada baca senarai projek di Kelantan dan kita beri perhatian. Tidak benar kalau kita tidak beri perhatian cuma keupayaan kita terbatas dan kita minta hubungan baik supaya boleh kemuka mengikut saluran," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para peniaga kerana menurunkan harga barang apabila mata wang Ringgit mengukuh.
"Saya harap perkara ini disiarkan agar pasar-pasar di negeri lain dapat belajar daripada pengalaman dan sikap peniaga di pasar Kota Bharu," katanya.
-- BERNAMA