Kerajaan peruntuk RM206.8 juta bangunkan infrastruktur air di Johor
Bernama
Julai 13, 2024 20:00 MYT
Julai 13, 2024 20:00 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan memperuntukkan RM206.8 juta bagi pembangunan infrastruktur berkaitan air di Johor meliputi 22 projek sambungan dan lapan projek baharu.
Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan RM206.8 juta untuk 30 projek infrastruktur air di Johor, termasuk 22 projek sambungan dan 8 projek baharu, untuk mengurangkan pencemaran sungai dan meningkatkan bekalan air.
- Projek pemuliharaan sungai, termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Projek Penyaluran Air Layang 2, sedang dilaksanakan untuk mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan bekalan air.
- Pencemaran Sungai Tebrau dari kumbahan dan industri sedang ditangani, dengan usaha membaik pulih sistem pembetungan dan peruntukan kepada premis terpilih seperti tandas di masjid.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan pencemaran sungai selain mengusahakan beberapa projek infrastruktur air di negeri ini.
Beliau berkata beberapa projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir sedang dilaksanakan termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Muar Fasa II, Sungai Pemandi di Kota Tinggi, Sungai Kesang di Ledang dan di Batu Pahat.
"Selain itu, usaha untuk meningkatkan bekalan air juga dilaksanakan melalui Projek Penyaluran Air Layang 2 di Kota Tinggi dengan kos RM152.6 juta," katanya ketika berucap merasmikan program Ceriakan Sungai Tebrau di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu di sini hari ini.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata antara aduan diterima daripada penduduk daerah ini ialah pencemaran Sungai Tebrau yang dikategorikan sebagai sederhana tercemar.
Beliau berkata keempat-empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain daripada industri, sektor komersial serta kerja tanah.
"Sudah pasti kerajaan berada dalam mod 'sense of urgency' atau sikap yang memerlukan tindakan segera yang tinggi dalam memitigasi masalah yang berlaku, termasuk bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Sungai.
"Jangan ingat pencemaran sungai ini disumbangkan oleh kilang-kilang dan komersial sahaja kerana tanpa kita sedar, aktiviti seharian termasuk air basuhan baju, cucian sisa makanan dan air mandian juga menyumbang kepada pencemaran sungai jika sistem kumbahan tidak ditambah baik," katanya.
Menurut Akmal Nasrullah selain mengusahakan cadangan membaik pulih sistem pembetungan di kawasan bandar raya ini, usaha melalui kelulusan peruntukan Pusat Khidmatnya kepada premis terpilih seperti tandas di masjid diharap dapat memberi impak positif terhadap permasalahan terbabit.
-- BERNAMA