Kerajaan pertimbang tambah baik Akta Kebankrapan 1967 - Azalina

Bernama
Ogos 11, 2016 07:46 MYT
AZALINA: Kerajaan berpendapat golongan ini tidak sepatutnya dibebankan untuk menjelaskan pinjaman yang diambil oleh pihak lain. -Gambar fail
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah baik Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata dalam satu kenyataannya pada Khamis bahawa kajian terhadap akta itu telah dibuat oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) bagi meneliti beberapa perkara yang melibatkan penjamin dan peminjam.
"Antara perkara yang diberi perhatian adalah mereka yang menjadi penjamin khususnya penjamin sosial kepada peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman.
"Kerajaan berpendapat golongan ini tidak sepatutnya dibebankan untuk menjelaskan pinjaman yang diambil oleh pihak lain," katanya.
Selain itu, Azalina berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk mengurangkan tempoh pelepasan bagi individu yang diisytihar bankrap.
"Di bawah akta sedia ada, mereka yang telah diisytihar bankrap hanya akan diberi sijil pelepasan oleh MDI selepas tempoh lima tahun selaras dengan Seksyen 33A," katanya.
Menurut kenyataan itu, sehingga Jun 2016, seramai 285,048 orang telah diisytiharkan bankrap.
Sehubungan itu, Azalina menjelaskan satu memorandum yang komprehensif akan dibuat setelah mendapat pandangan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet.
"Selepas ia diluluskan, dijangka akan dibentang ke Parlimen pada sidang akan datang," katanya.
Azalina berkata usaha kerajaan ini adalah bagi meringankan beban rakyat khususnya kepada penjamin, selain kerajaan juga berpegang kepada prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat.
#Akta 360 #Akta Kebankrapan 1967 #Azalina Othman Said #Jabatan Insolvensi
;