Kerajaan pertimbang tamatkan subsidi telur ayam selepas bekalan pulih - Mat Sabu
Khalis Khadir
Oktober 9, 2024 11:30 MYT
Oktober 9, 2024 11:30 MYT
PUTRAJAYA : Kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan telur kembali pulih dan stabil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penamatan subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk pembangunan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
“Apabila kita ambil keputusan tidak popular dengan menamatkan subsidi ayam, pada ketika itu ramai yang perlekeh usaha kita kononnya harga ayam akan melambung.
“Alhamdulillah, setelah subsidi ditamatkan, harga ayam tidak lagi melambung dan lebih penting, negara dapat jimat RM100 juta sebulan.
“Jadi sebab itu saya berpandangan sudah tiba masanya kementerian ini kaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C bila bekalan telur sudah pulih dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian, di sini, pada Rabu.
Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM927 juta bagi subsidi telur ayam.