Kerajaan pertimbang subsidi untuk kumpulan berpendapatan sederhana yang memerlukan - KPDN

Irfan Faruqi
November 27, 2023 22:30 MYT
Subsidi secara pukal tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya pendekatan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk memastikan kumpulan berpendapatan sederhana yang memerlukan bantuan terus mendapat insentif tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Kanan, Sektor Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Mohammad Sanusi Abdul Karim tetap menegaskan subsidi pukal bukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup ketika ini.
“Fokus subsidi bersasar ini adalah untuk memastikan ia benar-benar berkesan untuk orang yang betul-betul memerlukannya. Ini membolehkan orang yang memerlukan dapat subsidi dan pembelaan yang mana dia tidak perlu berbelanja di luar kemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan yang diperlukan.
“Kerajaan juga memikirkan golongan yang berada pada kelas ekonomi lebih tinggi tetapi masih memerlukan bantuan juga diberi insentif serta subsidi. Tetapi ia tidak boleh dilakukan sekiranya kita laksanakan subsidi secara pukal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohammad Sanusi berkata, subsidi secara pukal tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya pendekatan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup.
Sebaliknya, usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar mampu menyerap impak kenaikan harga dengan selesa tanpa menjejaskan kehidupan harian adalah fokus yang lebih penting.
Oleh itu, langkah rasionalisasi subsidi merupakan antara tindakan yang perlu diambil oleh Kerajaan ketika ini untuk memastikan dana awam boleh disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
“Mengenai rasionalisasi subsidi, walaupun rakyat tidak memikirkannya dari segi kos sara hidup, tetapi ia sebenarnya komponen yang sangat penting dalam strategi Kerajaan untuk tangani isu tersebut.
“Kita berbelanja lebih banyak untuk subsidi berbanding untuk perubatan. Peruntukan perubatan lebih kecil berbanding subsidi. Adakah ini patut berlaku?” jelasnya.
#Agenda Awani #kpdn #subsidi #rasionalisasi subsidi #kos sara hidup
;