Kerajaan pertimbang gabung bil air dan kumbahan IWK - Xavier

Israr Khalid
September 7, 2018 19:37 MYT
Menurut Xavier, ketika ini IWK sedang rugi kerana jumlah kutipan tidak mampu menampung kos operasi, akhirnya dibantu kerajaan yang membayar sekitar RM150 juta setahun. - Foto Astro AWANI
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang mengkaji perihal untuk melaksanakan penggabungan bil air dengan bil sisa rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).
Menterinya, Dr Xavier Jayakumar kata, ia akan memudahkan pengguna menjelaskan bil air dan kumbahan secara bersepadu.
Katanya sekarang ini IWK sedang rugi kerana jumlah kutipan tidak mampu menampung kos operasi, akhirnya dibantu kerajaan yang membayar sekitar RM150 juta setahun.
“Rakyat perlu sedar bahawa tidak semua boleh diperoleh secara percuma. Mentaliti (kebergantungan) subsidi ini perlu diubah.”
Katanya pelaksanaan sistem itu secara meluas akan menggunakan model sepertimana yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan terdahulu.
Bagaimanapun beliau menyatakan bahawa pihak kementerian tidak berfikir untuk menaikkan kadar bil IWK dan akan tetap pada kadar sedia ada.
Dr Xavier pada masa sama memberi jaminan dan akan memastikan IWK terus memberikan perkhidmatan pembetungan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.
“Keputusan mengenai pelaksanaannya akan dimaklum dalam tahun ini juga, dan disasar dimulakan di beberapa negeri dahulu iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan serta Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Minda Sinar Harian di ibu pejabat Karangkraf di sini hari ini.
Dalam sesi bicara bertajuk ‘Kita di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air’ yang dikemudi oleh penulis tersohor, Tan Sri Johan Jaaffar, Dr Xavier turut memperkatakan jaminannya tentang usaha kerajaan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kementeriannya antaranya isu pembalakan, pemburuan haram, pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta Harimau Malaya.
#air #bil air #Indah Water Konsortium #IWK #Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli #rakyat #rakyat Malaysia
;