Kerajaan pertimbang cadangan guna kerusi keselamatan kanak-kanak terpakai - Hannah

Aida Aziz
November 23, 2019 16:17 MYT
Hannah ditemui di Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara Malaysia Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan semula kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) terpakai, khusus untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya kini sedang meneliti cadangan bagi projek tersebut di samping menyeru lebih banyak syarikat atau pengilang barangan itu turut sama membantu bagi tujuan tersebut.
Ia susulan kerajaan mengumumkan penguatkuasaan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan.
"Kementerian Pengangkutan telah pun umumkan mereka akan ada 'grace period' enam bulan dan dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang melihat bagaimana kita boleh recycle (guna semula) car seat yang lama.
"Kerana ada ramai ahli keluarga yang sudah beli tetapi anak dah besar, car seat itu di rumah, kita sedang meneliti cadangan projek tersebut dan bila ada maklumat maka kita akan umumkan untuk membantu yang tidak mampu.
"Sekarang kalau kita lihat car seat di online dalam harga RM100 lebih sudah boleh beli, paling penting adalah keselamatan anak-anak diutamakan," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara Malaysia Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas kebimbangan ibu bapa yang merasakan harga CRS membebankan tambahan pula bagi anak yang ramai.
Ujarnya lagi, bagi tindakan masa panjang pihaknya akan meneliti keperluan CRS bagi mereka yang mempunyai ramai anak.
"Kita akan lihat kes bagi anak yang ramai namun kalau kita tidak aplikasikan polisi ini, yang menjadi mangsa anak mereka sendiri juga, polisi ini bukan untuk menyusahkan ahli keluarga tetapi melindungi anak-anak mereka," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan memperincikan polisi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan mengambil kira rungutan ibu bapa yang menghadapi kekangan mematuhi peraturan tersebut.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, keselamatan kanak-kanak di jalan raya menjadi keutamaan kerajaan namun memahami keluhan ibu bapa.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail #Kanak-kanak #Perdana Menteri #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail
;