Kerajaan pertimbang cadangan gaji RM4,000 untuk graduan TVET
Ridauddin Daud
Mac 5, 2024 10:45 MYT
Mac 5, 2024 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan saranan gaji lebih RM4,000 kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu antara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasakan institusi TVET di Malaysia.
Menurutnya, kerajaan juga akan mewujudkan hanya satu pusat pengiktirafan untuk TVET supaya tidak timbul kekeliruan dari aspek pengiktirafan pada masa akan datang.
“Kita juga melihat dari segi gaji. Gaji, terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berdasarkan kepada gaji minimum tetapi satu tahap yang lebih tinggi.
“Yang dicadangkan ialah RM4,000 ke atas. Untuk itu, ia secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk masuk ke institusi TVET ini.
“Selanjutnya, TVET ini tidak akan dimulakan selepas Tingkatan 5 saja tetapi selepas Tingkatan 3 di mana kolej vokasional, teknikal dan sebagainya akan menjadi ‘feeder’ kepada institusi TVET ini.
“Ia bagi membolehkan mereka dapat mengambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakan yang lain,” katanya.
Tambah beliau, semua cadangan itu akan diperhalusi dan sebaik dimuktamadkan, ia akan diumumkan ketika pelancaran Dasar TVET pada 2 Jun nanti.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Dr Halimah Ali (PN - Kapar) yang membangkitkan isu Majlis TVET Negara dan gaji melibatkan graduan dalam bidang tersebut di Dewan Rakyat pada Selasa.