Kerajaan Persekutuan usah sekat pembelian vaksin - Masing

Fadilah Sulaiman
Mei 14, 2021 20:07 MYT
Masing berkata, klinik atau farmasi yang diiktiraf di Malaysia harus dibenarkan untuk membeli vaksin dari sumber antarabangsa bagi memenuhi permintaan ketika pandemik ini. - Gambar fail
KUCHING: Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menyekat mana-mana kerajaan negeri atau institusi yang mahu membeli vaksin COVID-19 sendiri, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Langkah itu, katanya akan dapat membantu Malaysia termasuk Sarawak mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Keuntungan ekonomi tidak boleh menjadi faktor ketika Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) membuat keputusan ini. Kesihatan rakyat mesti diutamakan sebelum pertimbangan ekonomi.
“Klinik atau farmasi yang diiktiraf di Malaysia harus dibenarkan untuk membeli dan memberi vaksin kepada mereka yang mahukannya.
“Vaksin ini mestilah diletakkan di bawah barang-barang yang dikawal dengan harga tetap dan tindakan harus dikenakan kepada pihak yang tidak mematuhi peraturan ini dengan penguatkuasaan yang ketat” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Sarawak dibenarkan beli sendiri vaksin - Uggah
Beliau turut memetik Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh, yang telah melakukannya dengan memberikan vaksin dengan pantas.
Katanya, kini penggunaan pelitup muka di AS tidak lagi wajib.
“Sekiranya AS dengan lebih daripada 200 juta penduduk dapat melakukannya, tidak ada sebab mengapa Sarawak dengan 2.8 juta tidak dapat melakukannya.
“Kami mempunyai dana. Tolong izinkan kami menggunakannya untuk kepentingan rakyat kami,” kata James.
Setakat Khamis seramai 1,127,840 penduduk di Sarawak telah mendaftarkan diri untuk divaksin dengan 123,464 menerima suntikan dos pertama dan 69,353 sudah menerima dua dos.
#COVID-19 #vaksin #Sarawak #KKM #benar beli vaksin sendiri #kerajaan negeri #klinik #hospital swasta #sekatan #James Jemut Masing
;