Kerajaan Persekutuan sedia kerjasama dengan Pulau Pinang luaskan Lembah Silikon - Ahmad Zahid
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 23, 2023 17:26 MYT
Mei 23, 2023 17:26 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha memperluaskan wilayah Lembah Silikon di negeri itu termasuk ke kawasan tanah besar.
Ia antara inisiatif yang diambil bagi memperkasakan sektor semikonduktor di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi penglibatan agensi berkaitan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurut Ahmad Zahid, usaha itu juga merupakan inisiatif ke arah mencapai sasaran sektor itu menyumbang sebanyak 15 peratus daripada nilai pasaran keseluruhan berjumlah AS$1 trilion menjelang 2030, berbanding 13 peratus ketika ini.
"Setakat ini Malaysia berada di kedudukan ketujuh di dunia di dalam pengeluaran semikonduktor dan menyumbang kira-kira 13 peratus di dalam pasaran. Jadi perbincangan telah saya adakan secara tidak rasmi agar Lembah Silikon di Pulau Pinang ini bukan sahaja ditambah luas ke seberang (tanah besar) tetapi mungkin juga bekerjasama di bawah MIDA dan lain agensi-agensi MITI untuk perluas kemudahan semikonduktor ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena, di sini, pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perbincangan secara tidak rasmi telahpun diadakan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung perkara itu.
Beliau berkata, sekiranya nilai pasaran semikonduktor berjaya ditingkatkan kepada 15 peratus, ia menunjukkan sumbangan besar negara di dalam sektor tersebut di peringkat dunia.
Tambahnya, kerajaan pusat juga akan memberi penekanan kepada pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) berikutan terdapat penurunan bilangan pelajar yang ketara di dalam bidang tersebut.
"Apa yang kami lakukan ialah sebagai penandatangan MoA dengan pemain industri, supaya kursus-kursus yang ditawarkan ikut kehendak pasaran, mengikut kehendak guna tenaga yang diperlukan. Untuk itu tiga peringkat untuk TVET ini kita wujudkan (pertama) tenaga kerja separa mahir; kedua, pekerja mahir; ketiga, profesional.
"Untuk menterjemahkan ketiga-tiga peringkat ini, TVET bekerjasama dengan UniKL , dengan universiti, politeknik Malaysia untuk mengeluarkan sijil, diploma, ijazah pertama, sarjana dan juga PHD di dalam bidang elektrik dan elektonik ini," katanya lagi.
Ketika ini terdapat 1,291 institut pendidikan serta pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di dalam negara dan 250 daripadanya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.