Kerajaan Persekutuan peruntuk RM360 juta dalamkan Sungai Sarawak

Bernama
Februari 27, 2016 21:39 MYT
Usaha mendalamkan sungai itu juga bertujuan membolehkan kapal-kapal lebih besar dapat berlabuh di pelabuhan berkenaan. -foto Bernama
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM360 juta bagi projek pengorekan Sungai Sarawak untuk mempertingkat akses ke Pelabuhan Kuching.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata usaha mendalamkan sungai itu juga bertujuan membolehkan kapal-kapal lebih besar dapat berlabuh di pelabuhan berkenaan.
Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan sejumlah RM50 juta akan dibelanjakan pada tahun ini.
"Saya dapat melihat bahawa Pelabuhan Kuching ini mampu menjadi pelabuhan antarabangsa yang lebih penting pada masa depan apabila wujudnya lebih banyak kegiatan perkapalan," katanya pada sidang media sejurus tiba bagi lawatan kerja ke Sarawak, pagi ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.
Mengulas lanjut, Manyin berkata, kedalaman Sungai Sarawak antara empat hingga tujuh meter ketika ini adalah jauh lebih rendah daripada ketetapan piawaian antarabangsa.
Usaha pengorekan itu akan membolehkan kedalaman sungai tersebut mencecah antara 12 hingga 14 meter, katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah bersetuju untuk menanggung kos penyelenggaraan tahunan kemudahan itu sebanyak RM10 juta.
Selain itu, Liow turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM341 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Mukah menjadi kemudahan komersial sepenuhnya dan menyediakan perkhidmatan kepada pesawat lebih besar.
Malah, jelasnya, kerja-kerja pecah tanah bagi projek berkenaan sudah pun diselesaikan.
Fasa pertama projek itu dijangka siap pada Julai ini.
Mengulas perkhidmatan udara di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, Liow berkata usaha kendalian MasWings itu dilanjutkan selama tujuh tahun lagi bermula 2018.
"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM190 juta dalam bentuk subsidi tahunan bagi perkhidmatan itu. Kontrak sedia ada akan tamat pada tahun 2017," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) akan dilengkapi satu lagi sistem pencahayaan landasan yang menelan kos kira-kira RM5 juta.
Buat masa ini, katanya, hanya ada satu kemudahan berkenaan di KIA dan pemasangan sistem tambahan itu akan memudahkan serta selamat bagi pendaratan pesawat selain memaksimumkan penggunaannya.
Menurut Liow, tender projek itu dibuka bulan depan dan pemasangannya pada Ogos sebelum dijadual siap pada Julai 2017.
#kapal besar berlabuh #Liow Tiong Lai #Pelabuhan Kuching #projek pengorekan #Sungai Sarawak
;