Kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT perlu ubah cara kerja lama - PM

Bernama
Julai 6, 2024 18:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengubah cara kerja lama bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu bagi memacu pembangunan di semua kawasan.
Beliau turut mengingatkan semua setiausaha kerajaan negeri supaya memantau senarai projek yang diluluskan dan melaksanakan kemas kini status projek secara berkala.
"Tadi saya bincang dengan setiausaha kerajaan negeri untuk mengingatkan bahawa patut sentiasa pantau senarai projek yang diluluskan, berapa yang dilaksanakan dan apakah sebab kelewatan, apakah sebab pengambilan tanah atau kelulusan lain," katanya semasa merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar turut memberi contoh penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia yang diluluskan hanya dalam tempoh empat bulan sekali gus menunjukkan ada kesediaan dalam kalangan rakyat, penjawat awam dan ahli akademik untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik.
"Majlis perbandaran, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan mesti efisien, cepat maka cepatlah naik tetapi kalau persekutuan, negeri, perbandaran lembab maka lembablah kemajuan. Itu pilihan kita," katanya.
Perdana Menteri berkata persediaan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT juga penting sebelum Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN hujung tahun ini bagi membuktikan keupayaan negara menarik pelaburan serta pelancongan supaya setiap negeri semakin maju.
Beliau merujuk pelaburan Google di Selangor berjumlah RM9.4 bilion yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kelulusan pantas kerajaan negeri.
"Google sudah beli tanah di Selangor dan sudah mula projek. Kita mempercepat kelulusan kerana pelaburan Google RM9.4 bilion. Bukan setakat umum, dah beli tanah dan pecah tanah tapak projek," katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan dana Program SejaTi MADANI kepada 10 komuniti di Pantai Timur yang bernilai RM100,000 setiap satu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat dalam lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Program MADANI Rakyat Zon Timur adalah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluas penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon untuk memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksana oleh kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, program kali ini mendapat kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kerajaan Negeri Pahang.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kerajaan Persekutuan #kerajaan negeri #pbt #ubah cara kerja lama #kelulusan projek
;