Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan beli pam baharu untuk petani, pesawah di Kelantan
Bernama
Mei 2, 2024 05:45 MYT
Mei 2, 2024 05:45 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan sejumlah peruntukan untuk membeli pam-pam baharu bagi kegunaan para petani dan pesawah di Kelantan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan itu, Mohamad Sabu berkata perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat khas pembangunan Negeri Kelantan semalam dan pam-pam berkenaan akan dibeli mengikut keperluan sebenar di negeri berkenaan.
"Kita akan usahakan pam-pam untuk para petani dan pesawah membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berkenaan yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di bangunan MABNA MBI, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai petani dan pesawah yang terjejas ekoran cuaca panas yang melanda negeri itu, Mohamad berkata mereka akan diberi bantuan namun bergantung kepada permohonan.
"Cuaca di Kelantan adalah luar biasa dan petani serta pesawah yang mengalami kerugian akan dibantu namun bergantung pada permohonan mereka," katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga Julai depan.
Situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain.
-- BERNAMA