Kerajaan Persekutuan diharap meluluskan permintaan insentif fiskal RM200 juta - Sultan Kedah
Abd Hadi Che Awang
Jun 30, 2024 12:48 MYT
Jun 30, 2024 12:48 MYT
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda mengharapkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluluskan permintaan insentif fiskal sebanyak RM200 juta kepada kerajaan negeri itu.
Menurut baginda, insentif berkenaan merupakan satu mekanisme timbal balik selepas kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi, yang menyumbang kepada 43 peratus Tahap Sara Diri Beras Negara.
"Ini adalah kehilangan potensi pembangunan, selain pertanian yang boleh menjana hasil negeri yang lebih tinggi,
"Oleh itu, insentif fiskal ini dilihat akan dapat mengimbangi hasil, dan perbelanjaan Negeri Kedah pada masa hadapan, bagi pembangunan sosio-ekonomi.
"Melalui insentif ini, Kerajaan Beta dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin seperti di kalangan keluarga petani, dengan membantu anggota isi rumah menambah pendapatan keluarga, menyediakan bantuan pendidikan yang lebih sempurna, serta melengkapkan keperluan asas, dan akhirnya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan hidup," titah Sultan Sallehuddin.
Baginda bertitah demikian pada sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-82 di Istana Anak Bukit, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin bertitah, insentif itu juga boleh digunakan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, seperti menyediakan lebih banyak kawasan perniagaan kepada golongan peniaga dan penjaja kecil.
Sementara itu, baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan Menteri Besar Kedah bersama barisan kepimpinan negeri untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah satu langkah yang amat bijak.
"Seperti mana Beta disembah maklum, Mamanda Menteri Besar telah membentangkan, senarai wishlist projek-projek pembangunan di Negeri Kedah, kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, pada 4 Mei yang lalu,
"Beta menghargai keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terutamanya
tentang kemiskinan tegar berjumlah 1,750 keluarga di Negeri Kedah, untuk disantuni dalam tempoh yang singkat,
"Beta disembah maklum yang sehingga kini, ia telah berjaya dikurangkan sebanyak 77 peratus, kepada 404 keluarga," titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Sallehuddin berharap agar wishlist yang dibentangkan mendapat perhatian di peringkat Pusat dan diambil tindakan segera.