Kerajaan Persekutuan beri keutamaan bina jalan di Kapit - Anwar

Bernama
September 29, 2024 19:05 MYT
Anwar berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer. - Gambar/ Bernama
KAPIT: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan di Bahagian Kapit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertama pembinaan jalan itu dijangka bermula tahun hadapan dan beliau telah meminta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyegerakannya.
"Saya minta Alexander (Nanta Linggi) untuk mulakan persiapan (pembinaan) tahun ini, agar kita boleh mula segera.
"Tahun depan kita (sediakan) peruntukan untuk mula fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun depan atau tahun 2026 (pembinaan bakal bermula)," katanya berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit di sini, hari ini.
Selain Nanta, program yang diadakan di Dewan Suarah Kapit itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, mengulas mengenai peranan Sarawak dalam Malaysia, Anwar berkata kejayaan yang dikecapi Bumi Kenyalang kini juga merupakan kejayaan buat negara.
"Sarawak pada 30, 40 tahun yang lepas merupakan antara negeri paling miskin (di Malaysia), tetapi sekarang Sarawak dianggap sebagai negeri berpotensi dan mempunyai kekuatan terutama dalam bidang tenaga.
"Kejayaan Sarawak ini merupakan kejayaan kita semua, kerana apa yang Sarawak capai boleh dinikmati oleh semua," katanya.
Pada lawatan kerja sehari ke Kapit hari itu, Perdana Menteri turut merasmikan majlis pecah tanah projek baharu pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit dan mendengar taklimat mengenai pembinaan jambatan merentasi Sungai Batang Rajang di Nanga Yong.
Selain itu, Anwar turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Daerah Kapit dan Song di Rumah Robert, Nanga Sebatu, di sini.
Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata IPD Kapit yang baharu itu akan menempatkan 146 perjawatan termasuk pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam.
"Dengan adanya Kompleks IPD Kapit yang baharu ini, ia sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan penugasan, memastikan ketenteraman awam serta keselamatan di daerah ini sentiasa terjamin, selain memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat daerah Kapit.
"Di samping itu, ia memberi manfaat kepada semua pegawai dan anggota PDRM di Kapit, bagi meningkatkan kebajikan selain mengurangkan beban sara hidup kakitangan IPD," katanya.
Perdana Menteri berkata dengan keluasan tapak seluas 45.64 hektar, projek ini akan dilaksanakan secara dua fasa selama lima tahun bermula 2025 sehingga 2029.
Beliau berkata ia akan bermula dengan kerja-kerja tanah dan kemudiannya pembinaan kompleks, meliputi bangunan pentadbiran, kompleks persenjataan termasuk lapang sasar tertutup, dewan, pentas hormat dan padang kawad, kuarters, cawangan pengangkutan termasuk bengkel, surau dan lain-lain kemudahan.
Anwar dalam satu lagi hantaran di Facebook berkata projek pembinaan jambatan baharu Nanga Yong di Kapit merangkumi pembinaan baharu jalan berturap dan dua jambatan yang menghubungkan Jalan Ng Belawai ke Jalan Song-Kapit serta menaik taraf dua persimpangan, yang dijadualkan bermula pada 2025 dan selesai pada 2029.
"Projek ini akan memberikan manfaat pembangunan sosioekonomi kepada penduduk di penempatan seberang Sungai Batang Rajang seperti di Ng Belawai dengan Bandar Kapit.
"Apabila projek ini dapat disiapkan kelak, ia menjadi jalur perhubungan jalan luar bandar yang selamat dan selesa kepada semua penduduk yang terlibat, selain mewujudkan landasan yang dapat membina lain-lain kemudahan awam seperti kemudahan elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Bahagian Kapit, Anwar turut meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk kerja-kerja pengukuhan tebing bagi mengatasi masalah hakisan Sungai Rejang di Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu, daerah itu.
-- BERNAMA
#Kapit #Anwar Ibrahim #pembinaan jalan #Alexander Nanta Linggi
;