Kerajaan Perpaduan tawar pelbagai program pembangunan Orang Asli - Ahmad Zahid

Bernama
Ogos 9, 2023 16:30 MYT
Tema sambutan Hari Orang Asli Sedunia tahun ini adalah 'Belia Orang Asli Sebagai Ejen Perubahan Diri'. - Foto Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan telah menawarkan pelbagai program pembangunan Orang Asli khususnya melibatkan belia agar komuniti itu dapat menikmati kemajuan negara seiring masyarakat lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata beliau selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan meneruskan agenda pembangunan memperkasa Orang Asli supaya masyarakat itu dapat terus menikmati kesejahteraan dan kemajuan di Malaysia dari aspek ekonomi, sosial, kesihatan serta pendidikan.
"Setiap daripada kita mempunyai keistimewaan dan memainkan peranan penting dalam membentuk identiti masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang kita cintai ini," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat menyambut Hari Orang Asli Sedunia 2023 kepada seluruh masyarakat Orang Asli di Malaysia.
Tema sambutan tahun ini adalah 'Belia Orang Asli Sebagai Ejen Perubahan Diri'.
Hari Orang Asli Sedunia disambut pada setiap 9 Ogos, untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk Orang Asli dunia.
Pada Februari lepas, Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan dana RM200,000 daripada peruntukan timbalan perdana menteri bagi pembangunan Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pula menyumbangkan RM200,000 dalam bentuk peralatan bagi pertubuhan itu.
Ahmad Zahid juga menyasarkan 800 belia Orang Asli mengikuti program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun ini, berbanding lebih 700 belia tahun lepas.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #Hari Orang Asli Sedunia #Kerajaan Perpaduan #JAKOA
;