Kerajaan Perpaduan perlu saingi skor urus tadbir kerajaan terdahulu - IKRAM
Irfan Faruqi
April 6, 2023 22:17 MYT
April 6, 2023 22:17 MYT
KUALA LUMPUR: Skor tadbir urus, ekonomi mampan dan kepimpinan kompeten dalam kaji selidik Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 (IMNR22) adalah berdasarkan jawapan responden sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengerusi Jawatankuasa Agenda Nasional IKRAM, Prof. Dr. Hanim Salleh berkata, ia sekali gus menjelaskan mengapa skor bagi ketiga-tiga Ciri Negara Rahmah tersebut adalah rendah.
Oleh yang demikian ujarnya, kerajaan semasa perlu melaksanakan penambahbaikan untuk meningkatkan skor bagi tiga elemen tersebut.
Berdasarkan kepada laporan kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 skor bagi ciri tadbir urus yang baik, 5.68); ekonomi yang mampan, 5.76; dan kepimpinan yang kompeten dan berintegriti, 5.80.
“Apabila skor ini rendah ia menunjukkan elemen-elemen ini perlu ditambah baik oleh kerajaan. Kita sangat teruja untuk melihat respon selepas adanya Kerajaan Madani. Sejauh mana usaha kerajaan baharu ini cuba laksanakan penambahbaikan dan apa persepsi rakyat terhadap usaha tersebut,” katanya dalam program Agenda AWANI.
Dalam pada itu, Hanim menjelaskan bahawa ketika dapatan kaji selidik ini dibentangkan kepada agensi kerajaan, pihaknya mendapat reaksi bahawa pihak kerajaan sudah melakukan sesuatu mengenai perkara yang dibangkitkan.
Oleh yang demikian, Hanim menegaskan bahawa isu yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan adalah soal penyampaian maklumat kepada rakyat mengenai tindakan dan rancangan kerajaan yang lebih berkesan.