Kerajaan Perpaduan fokus tangani isu rakyat, ekonomi - Fahmi

Bernama
September 13, 2024 18:15 MYT
Fahmi menyampaikan ucapan pada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Minister's Conversation 2024 Komunikasi Mapan: Simbiosis Kerajaan MADANI dan Rakyat di Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menjelang 22 bulan pentadbiran, Kerajaan Perpaduan kekal fokus pada usaha menangani masalah rakyat terutamanya mengenai kos sara hidup sambil mencatat kejayaan ekonomi yang memberangsangkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketika mengambil alih pentadbiran negara, cabaran utama kerajaan ialah isu ekonomi, dan untuk memastikan pembangunan negara kekal mapan, kerajaan telah memperkenalkan landasan baharu melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
"Setahun selepas Ekonomi MADANI diumumkan bersekali dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan perancangan peralihan tenaga, kita telah saksikan jumlah pelaburan yang cukup baik, meningkat suku demi suku kalau dibandingkan dengan tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah pada INTAN Minister's Conversation 2024, Komunikasi Mapan: Simbiosis Kerajaan MADANI dan Rakyat anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.
Fahmi turut menekankan pengukuhan nilai ringgit pada paras RM4.31 berbanding dolar Amerika Syarikat mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi negara.
Di samping itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang membanggakan, pengurangan defisit, penurunan pinjaman kerajaan serta inflasi yang stabil kira-kira dua peratus, membuktikan ekonomi berada pada landasan yang kukuh.
"Jadi, metrik dari segi pertumbuhan ekonomi itu cukup positif. Harga barang terkawal, stok barang mencukupi terutama pada musim perayaan dan yang penting ke depan ialah merancakkan lagi pertumbuhan dan memastikan isu kos sara hidup rakyat itu dapat ditangani," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi menegaskan kepentingan komunikasi yang berkesan dalam menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks.
Beliau berkata perubahan dalam landskap media sosial telah mengubah cara rakyat berinteraksi dan memahami maklumat dengan era komunikasi pelbagai hala memerlukan strategi komunikasi yang lebih holistik dan berkesan memandangkan audiens terutamanya rakyat sebagai pihak berkepentingan utama akan mendengar perkara yang ingin didengari sahaja.
"Kita berada dalam zaman yang maklumat boleh diakses dari pelbagai arah dan platform. Sama ada melalui TikTok, WhatsApp atau Telegram, segala-galanya boleh dilihat pada bila-bila masa," katanya.
Mengambil contoh debat calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai pendatang Haiti yang didakwa memakan haiwan peliharaan di Ohio, memperlihatkan kenyataan tidak disengajakan boleh menjadi tular, mengatasi isu penting lain yang dibangkitkan, kata Fahmi.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #Fahmi Fadzil #fokus tangani isu rakyat #kos sara hidup #ekonomi lebih baik
;