Kerajaan perluas program jualan murah sempena Aidilfitri

Bernama
Mac 11, 2025 14:00 MYT
Mesyuarat NACCOL membincangkan peningkatan inflasi kos perubatan dan langkah-langkah untuk mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan. -Facebook
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan program jualan murah bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan memperluaskan program jualan murah seperti Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang musim perayaan.
  • Mesyuarat NACCOL membincangkan peningkatan inflasi kos perubatan dan langkah-langkah untuk mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan.
  • Kerajaan komited melaksanakan inisiatif untuk menangani cabaran kos sara hidup, termasuk program peningkatan pendapatan, jualan murah, dan bantuan tunai.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata program jualan murah itu merangkumi Jualan Rahmah MADANI, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani, dan Jualan Agro MADANI.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama, termasuk beras, kelapa, ayam, dan telur ayam, adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan persiapan Aidilfitri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Naccol Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan bin Mohd Ali dan Timbalannya Fuziah Salleh, pegawai kanan kementerian, wakil kerajaan negeri, pihak industri, dan badan bukan kerajaan.
Selain, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan peningkatan inflasi kos perubatan, yang menyebabkan kenaikan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful.
Bagi menangani isu itu, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), termasuk pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif.
Ahmad Zahid berkata pembaharuan sektor kesihatan negara juga perlu disegerakan dalam tempoh tiga tahun, bermula 2024 hingga 2026.
Pada masa yang sama, katanya Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga akan mengambil langkah membangunkan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan sektor kesihatan negara yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan akses kepada rawatan perubatan yang lebih mampan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat turut meneliti inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial dalam memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat.
Antara inisiatif yang akan dipertingkatkan termasuk memastikan pemadanan pekerjaan yang lebih cekap, menyediakan insentif kepada majikan bagi pengambilan pekerja daripada kumpulan yang lebih memerlukan, serta memperkukuh perlindungan sosial untuk memberi jaminan ekonomi yang lebih baik kepada pekerja dan keluarga mereka.
"Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup, termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah, dan bantuan tunai.
"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #Jualan Rahmah MADANI #Jualan Agro Madani #NACCOL
;