Kerajaan perlu wujud jawatankuasa khas tangani isu alam sekitar
Astro Awani
Ogos 28, 2021 18:38 MYT
Ogos 28, 2021 18:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas untuk melihat polisi dan mengambil langkah-langkah penguatkuasaan dalam menangani isu alam sekitar.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, jawatankuasa itu akan membantu kerajaan melihat dan melakukan penambahbaikan secara berterusan selari dengan perubahan semasa.
"Kita tidak boleh menunggu sehingga bencana berlaku untuk mengambil langkah seterusnya. Macam apa yang berlaku di Gunung Jerai baru-baru ini, masing-masing membuat analisis, semua data-data dikeluarkan dan terus dibicara.
"Tapi pembangunan berterusan tanpa melihat perkara asas," katanya kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas mengenai 100 hari bukti pencapaian Kabinet baharu dalam menangani isu alam sekitar.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan juga perlu memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam kaedah penyelesaian dan tindakan penguatkuasaan.
Dalam perkembangan yang berasingan dalam menangani isu ekonomi, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM), Azharee Wahid berkata, kerajaan perlu ada penglibatan yang lebih rapat dengan pemain industri supaya tidak ada istilah 'u-turn' dalam penetapan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, ia bagi membolehkan pemain industri berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi mereka ketika mendepani pandemik COVID-19.
"Kami yang berniaga, kami yang bertemu dengan pelanggan, jadi kami yang faham apa yang berlaku di lapangan dan ikut SOP," katanya.
Azharee menambah, kerajaan juga perlu agresif dengan mempertingkatkan bantuan dalam memastikan mereka terus mendapat akses kepada model perniagaan dan teknologi baharu.
#alam sekitar
#polisi
#ekonomi
#SOP
#100 hari
#Persatuan Pencinta Alam Malaysia
#Dr Ahmad Ismail
#gunung jerai
#COVID-19
#Azharee Wahid