Kerajaan perlu tumpu aspek meningkatkan pendapatan rakyat - DPDM
Madiha Abdullah
Februari 8, 2023 19:17 MYT
Februari 8, 2023 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak wajar jika tumpuan diberi pada pengurangan kos tanpa mengambil kira aspek polisi yang boleh memangkin pertumbuhan industri.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong berkata, hakikatnya harga barang keperluan tidak akan turun dan kerajaan sewajarnya mula memikirkan cara untuk membantu rakyat meningkatkan pendapatan.
"Kita kena tahu yang harga barang tidak akan turun. Ini kerana ada banyak faktor lain mendorong kenaikan harga seperti kos gaji pekerja dengan pelaksanaan gaji minima dan kos elektrik yang meningkat.
"Ini mendorong kita untuk melihat isu ini pada paksi yang lain, kerajaan sewajarnya mencari jalan bagaimana untuk peningkatan pendapatan rakyat.
"Dahulu kita pernah ada pelan meningkatkan kemampuan daya saing negara dan meningkatkan pendapatan rakyat kerajaan, jadi mungkin kita kena kembali dan lihat dasar dan pelan industri yang meningkatkan pendapatan rakyat dan sekali gus kurangkan beban rakyat," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Rabu.
Kerajaan jelasnya, perlu mengenal pasti sektor yang mahu diberi tumpuan dan mencari jalan bagi membolehkan negara terus berdaya saing.
"Di samping mengekang dan mengawal kos daripada naik, kita kena selarikan bagaimana nak tingkatkan pendapatan industri.
"Contoh Singapura, negara kecil tetapi mereka fokus perkilangan dan memajukan serta membangunkan sektor seperti kewangan dan IT.
"Jadi kena lihat apa dasar kerajaan kita hari ini, bagaimana ia boleh bantu sektor perkilangan industri IT dan kewangan untuk terus berdaya saing supaya kita dipakai guna masyarakat antarabangsa," ujarnya.