Kerajaan perlu tingkat usaha banteras jenayah pemerdagangan orang
Astro Awani
Jun 30, 2018 06:09 MYT
Jun 30, 2018 06:09 MYT
Kerajaan Malaysia perlu meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang memandangkan usaha yang diambil sebelum ini tidak berkesan dan menyebabkan penarafan negara merosot.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil, terutamanya di pihak Menteri Dalam Negeri, untuk memastikan Malaysia berada di tahap yang lebih baik.
Penarafan Malaysia merosot ke 'Tahap 2 pemerhatian' dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang untuk tahun 2018 daripada Tahap 2, penarafan sama yang dicapai pada 2015 dan 2016.
"Harus ada keinginan politik yang kuat untuk memerangi penyeludupan manusia," katanya dalam satu kenyataan sambil menggesa menteri dalam negeri melihat kepada isu berkenaan.
"Kerajaan juga harus menunjukkan peningkatan usaha dengan memperluas siasatan, pendakwaan, dan sabitan pemerdagangan orang.
"TI-M juga melihat keperluan untuk mengenakan syarat lebih ketat dalam pengambilan kaunselor baharu serta penglibatan agensi penguatkuasaan undang-undang lain dalam membantu Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
"Hanya usaha dan pendekatan yang diselaraskan dengan baik antara agensi yang berkaitan dapat membawa hasil positif untuk memperbaiki kedudukan semasa negara kita," tambahnya.
Terdahulu pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bakal melaksanakan lima langkah bagi membendung pemerdagangan manusia di negara ini.
Ia termasuk mengeratkan kerjasama kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri, serta mempergiatkan tindakan bersepadu antara agensi, juga membabitkan penambahbaikan dua aspek perundangan buruh.
Selain itu kerajaan juga akan meminda Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan 2007 untuk meningkatkan hukuman-hukuman yang dikenakan, manakala pengurusan pekerja asing akan diteliti semula bagi memastikan kebajikan dan hak golongan ini turut dilindungi.
#Akhbar Satar
#Amerika Syarikat
#Imigresen
#jabatan negara
#JNAS
#laporan
#lima langkah
#Malaysia
#Menteri Dalam Negeri
#Muhyiddin Yassin
#pemerdagangan orang
#pemerhatian
#penarafan
#penyeludupan
#Tahap 2
#TI-M
#Transparency International Malaysia