Kerajaan perlu tingkat pengeluaran makanan harian, bahan mentah - Agong
Afiezy Azaman
Februari 26, 2024 12:40 MYT
Februari 26, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berusaha meningkatkan pengeluaran dalam negara terutamanya makanan harian dan bahan mentah susulan kos import yang semakin meningkat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, pengingkatan pengeluaran makanan hendaklah dibuat lebih tersusun agar jaminan makanan negara mencapai sasaran.
"Pada masa sama, pelbagai program untuk membantu petani, peternak dan nelayan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap yang tinggi.
"Saya menyambut baik kedudukan Malaysia ditangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan Kerajaan yang mengalu-alukan usaha berterusan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan agensi kerajaan," titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Seri Paduka Baginda turut menyeru kepada jentera Kerajaan agar meningkatkan kecekapan dan mengamal prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya.
"Saya tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”. Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.
"Saya sangat berharap semua agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.
"Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat tehradap sistekm Kehakiman Negara sentiasa terpelihara," titah Baginda.