Kerajaan perlu tetapkan harga siling tiket penerbangan ke Sarawak
Ridauddin Daud
Disember 1, 2021 18:09 MYT
Disember 1, 2021 18:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menetapkan harga siling tiket penerbangan pergi dan balik ke Sarawak, kata Lukanisman Awang Sauni (GPS - Sibuti) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, harga sekarang agak tinggi dan tiada salahnya jika syarikat penerbangan menurunkan harga terutamanya ketika negara masih dalam proses pemulihan disebabkan COVID-19.
“Kerajaan kenakan kadar tiket siling supaya harga ini mampu untuk membolehkan keluarga-keluarga dari Sarawak, dari Kuching, dari Miri, Bintulu, Sibu dapat kembali dengan perasaan senang hati.
“Mereka juga dapat kembali mengemudi dengan perasaan senang hati. Ya saya faham bahawa penerbangan ini kadang-kadang dikawal oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Saya berharap, saya akan mengajukan perkara ini kepada kerajaan negeri.
“Menteri perlu memainkan peranan untuk memastikan sekiranya penerbangan ini ditambah, kadar tiket ini dapat diturunkan bagi meredakan kemarahan rakyat, ketidakpuasan hati rakyat, faham-fahamlah pada waktu ini pelbagai isu berkaitan dengan kenaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Rabu.
Minggu lepas, Astro AWANI melaporkan Kementerian Pengangkutan mengarahkan semua syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangan domestik dengan segera, tanpa perlu campur tangan kerajaan Persekutuan.
Ia susulan kekecewaan orang ramai terhadap harga tambang penerbangan yang luar biasa ke Sarawak yang tinggi sehingga mencetuskan keresahan menjelang musim cuti.
Malaysia Airlines | Tambah penerbangan ke Sarawak
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, ia adalah berdasarkan keputusan Kabinet, yang mana Kementerian Pengangkutan telah memanggil syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat.
Mesyuarat itu menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini.