Kerajaan perlu terus uar-uarkan berkenaan permohonan kad fleet subsidi diesel

Bernama
Jun 4, 2024 05:30 MYT
Pemandu lori pengangkutan perdagangan, Hanusi Razali, menunjukkan Fleet Card bagi mengisi minyak menggunakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0. - Gambar hiasan/BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan diharap dapat terus menyebarluaskan berkenaan permohonan kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada pengusaha atau pemilik kenderaan yang layak agar mereka tidak terlepas daripada menikmati subsidi diesel.
Pengusaha bas sekolah Abdul Aziz Shafie, 65, dari Taman Putra, di sini berkata inisiatif kad fleet itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan sasar dapat menikmati subsidi yang disediakan apabila kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar kelak.
"Saya sudah lebih 20 tahun bawa bas sekolah di sekitar Alor Setar dan jika diikutkan harga minyak diesel sekarang mahal berbanding sebelum ini...itu belum ditambah dengan kos penyelenggaraan bas yang mana semuanya meningkat lebih lima peratus.
"Apabila kerajaan bantu seperti ini, memang dapat mengurangkan sedikit bebanan kami sebagai pemandu bas sekolah. Tetapi buat masa ini, saya masih belum buat permohonan lagi kerana baharu sahaja mengetahui mengenai kad berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, bagi pemandu bas ekspres Mohd Ramdan Azhar, 46, yang lebih 10 tahun memandu bas berkata walaupun inisiatif kad fleet itu satu usaha yang bagus, dia berharap kerajaan dapat menyalurkannya melalui bayaran tunai seperti Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
"Pada pandangan saya, lebih baik terus beri bantuan tunai kepada pemandu-pemandu bas ini berbanding penggunaan kad fleet itu. Bukan apa, kita risau timbul pula ketirisan di mana-mana tanpa sedar bila guna kad itu, kalau beri tunai ia memang akan sampai terus kepada penerima.
"Tetapi, sekiranya kerajaan telah ambil kira semua aspek untuk pastikan penggunaan kad fleet itu berkesan, kita terima dan akur. Saya masih belum memohon lagi dan mungkin dalam minggu ini akan buat permohonan melalui dalam talian," katanya.
Beliau berkata masih ramai golongan yang layak memohon tidak mengetahui mengenai kad fleet itu dan berharap kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat terus menguar-uarkan mengenai kad berkenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah SKDS.
Sepuluh kenderaan pengangkutan itu melibatkan bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba.
-- BERNAMA
#subsidi diesel #SKDS #kad fleet #kenderaan pengangkutan
;