Kerajaan perlu tangani harga barangan asas dengan holistik, sepadu, berkesan - MKT UMNO
Firdaus Azil
Jun 24, 2022 00:07 MYT
Jun 24, 2022 00:07 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam ini menggesa kerajaan dengan segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia merupakan sebahagian keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MKT, yang membincangkan isu-isu yang melingkari kehidupan rakyat masa kini.
Isu tersebut, jelas Ahmad lagi, khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak lantaran inflasi dan krisis ekonomi global.
“Sebagai contoh, dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan.
“Menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan Kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup. Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan,” katanya lagi.
Terdahulu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, MKT UMNO mendokong keputusan Kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air.
Katanya lagi, begitu juga komitmen Kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan.
Menyentuh mengenai persiapan ke arah pilihan raya umum, Ahmad berkata, MKT UMNO memutuskan agar jentera pilihanraya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.
“MKT (juga) menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti di bentang segera di Parlimen sebelum PRU15.
“Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan,” katanya lagi.