Kerajaan perlu sentiasa utamakan rungutan rakyat - Syed Ali

Astro Awani
Jun 16, 2021 20:30 MYT
Syed Ali mengakui kerajaan semasa sedaya upaya cuba melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta supaya bergerak dengan hala tuju yang konsisten dan kebolehpercayaan dasar serta lebih bertimbang rasa terhadap rungutan rakyat.
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, di samping itu, kerajaan perlu bersedia menerima teguran serta saranan daripada semua pihak yang mewakili pelbagai kepentingan dan kelompok.
"Jangan diserabutkan pandangan rakyat dengan pelbagai teori dan agenda politik yang hanya menjuruskan kepada kepentingan kuasa sewaktu mereka sedang bertungkus lumus untuk meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
"Sejak kebelakangan ini, kelihatan pemain, pembesar termasuk broker politik semakin ghairah dengan pelbagai kenyataan dan saranan politik yang kebanyakannya meletakkan persoalan bagaimana untuk meraih kuasa dan menyingkirkan kerajaan semasa yang ada hari ini.
"Bukan satu kesalahan merancang strategi politik untuk berkuasa dan tidak juga berupa halangan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada tetapi kaedah dan caranya biarlah berasaskan kepada proses Pilihan Raya Umum (PRU) seperti yang dibenarkan Perlembagaan dengan lebih mengutamakan kepentingan rakyat terutama di kawasan luar bandar yang ketika ini amat memerlukan pembelaan," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.
Dalam pada itu Syed Ali mengakui kerajaan semasa sedaya upaya cuba melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat.
Namun ujarnya, ada kalanya dasar yang dibuat tidak memberi impak besar sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.
#PRU #pilihan raya #COVID-19 #politik #rakyat #KUASA
;