Kerajaan perlu sentiasa semak peruntukan sedia ada selari dengan perkembangan teknologi
Umavathi Ramayah
Mac 28, 2024 18:00 MYT
Mac 28, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu sentiasa menyemak peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan demi kedaulatan digital Malaysia supaya ia selari dengan perkembangan teknologi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
"'Perubahan itu adalah bersifat exponential, jadi bukan semua bentuk kita dapat cover dalam satu-satu masa. Mungkin ada keperluan dalam masa-masa akan datang.
"Sekarang kita bercakap dalam masa terdekat, umpamanya dari pembangunan kecerdasan buatan (AI) kepada pembangunan AGI dan sebagainya.
"Jadi perkara-perkara ini memerlukan perundangan untuk menangani dan ketika undang-undang itu digubal perkembangan ini tidak berlaku.
"Apabila berlaku mungkin ada keperluan maka undang-undang itu perlu dipinda selari dengan teknologi semasa," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramli yakin, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Digital yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang berkemungkinan akan memasukkan elemen AI bagi menampung kelompongan akta berkaitan sedia ada.
Menurutnya, pada ketika ini, siasatan membabitkan teknologi diterangkumkan di bawah kes penipuan dan permalsuan yang disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Bercakap mengenai penstriman haram, beliau menjelaskan pelanggan yang melanggan penstriman haram juga boleh dikenakan tindakan di bawah 43AA (1) Akta Cipta 1987.
Katanya, jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-dua sekali.
"Bermaksud pelanggan yang mendapatkan penstriman ini dengan cara mudah dan murah juga berdepan dengan liabiliti," ujarnya lagi.