Kerajaan perlu pertimbang gubal dasar wajib perlindungan sosial

Umavathi Ramayah
November 20, 2023 22:11 MYT
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (paling kanan) berkata, buat masa ini pekerja sektor tidak formal hanya digalakkan untuk membuat caruman secara sukarela.
KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mempertimbang untuk menggubal satu dasar yang mewajibkan pekerja sektor tidak formal untuk mendapat perlindungan sosial.
Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, pelan perlindungan sosial itu tidak seharusnya dijadikan sebagai pilihan semata-mata.
"Dengan ini ia dapat memastikan pekerja sektor tidak formal mempunyai masa depan yang lebih terjamin, selain mengelak ketidaksamaan ekonomi," katanya pada sidang media di Seminar ASEAN Social Security Association (ASSA) ke-40, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman menambah, beberapa negara di rantau ini seperti Singapura sudah menjadikan perlindungan sosial sebagai mandatori kepada pekerja sektor tidak formal, dan ia boleh dijadikan rujukan kepada Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, buat masa ini pekerja sektor tidak formal hanya digalakkan untuk membuat caruman secara sukarela.
Menurutnya, KWSP kini dalam usaha menggalakkan orang ramai terutamanya pekerja dalam sektor tidak formal untuk menyertai caruman secara sukarela.
"Dalam konteks Malaysia, kita mulakan usaha dengan mengalakkan orang ramai untuk menyertai secara sukarela, dan usaha ini mendapat sokongan kerajaan menerusi inisiatif i-Saraan.
"Sebaik sahaja Bajet 2024 diluluskan, kerajaan bersetuju untuk mencarum RM500 setahun kepada pekerja sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela," ujarnya.
Amir Hamzah menambah, ia adalah langkah pertama dalam menggalakkan pekerja dalam sektor tidak formal untuk menyertai mekanisme simpanan itu.
Terdahulu, Pengerusi Kumpulan KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia tiga tahun lalu telah menjejaskan sektor pekerjaan dengan peningkatan pekerja sektor tidak formal di ASEAN membuka ruang kosong kepada perlindungan sosial.
Justeru katanya, lonjakan pekerja tidak formal menjadi isu kritikal dalam perlindungan sosial di ASEAN, terutamanya di Malaysia.
"Jumlah pekerja tidak formal di ASEAN kini termasuk Malaysia adalah tinggi membabitkan sekitar 244 juta pekerja. Golongan yang memperoleh pendapatan daripada pekerjaan tidak formal merangkumi hampir 79 peratus daripada populasi bekerja formal di rantau ini, malah melepasi purata global sebanyak 61 peratus dan purata Asia Pasifik sebanyak 68 peratus.
"Peratusan pekerjaan tidak formal itu bagaimanapun berbeza-beza di seluruh negara anggota, antara 34 peratus di Brunei hingga lebih daripada 80 peratus di Kemboja, Laos, Myanmar dan Indonesia," ujarnya.
Dalam pada itu, Persatuan Keselamatan Sosial Keselamatan Antarabangsa (ISSA) dan ASSA memeterai perjanjian persefahaman (MoU) yang menandakan tonggak penting dalam usaha bersana memperkuatkan sistem perlindungan sosial di rantau ASEAN.
MoU itu dijangka dapat menangani cabaran-cabaran termasuk isu kesenjangan dalam perlindungan sosial dan isu pekerja sektor tidak formal dalam kalangan 680 juta penduduk ASEAN.
#Pekerja #sektor tidak formal #perlindungan sosial #ISSA #KWSP
;