Kerajaan perlu percepatkan rancangan tambah peruntukan kesihatan - MMA

Bernama
September 8, 2024 17:30 MYT
Peningkatan elaun tugas atas panggilan itu merupakan pengiktirafan terhadap tugas doktor yang memastikan penjagaan 24 jam ke atas pesakit di hospital. - Gambar hiasan/Reuters
KUCHING: Rancangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan bagi sektor penjagaan kesihatan negara perlu dipercepatkan pada Belanjawan 2025 akan datang, bukan sahaja untuk pembangunan infrastruktur bahkan modal insan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata pihaknya menghargai inisiatif kerajaan memperkenalkan skim gaji baharu bagi penjawat awam yang berkuat kuasa pada Disember ini, namun masih terdapat isu lain melibatkan doktor kerajaan perlu ditangani.
"Antaranya elaun tugas atas panggilan yang kami harap dapat diberi tumpuan dalam belanjawan. Kami maklum bahawa kerajaan menyatakan akan ada perubahan bagi elaun tersebut. Kami berharap jumlah kenaikan elaun itu berpatutan dan setanding dengan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh doktor," katanya menerusi kenyataan MMA hari ini.
Beliau berkata peningkatan elaun tugas atas panggilan itu merupakan pengiktirafan terhadap tugas doktor yang memastikan penjagaan 24 jam ke atas pesakit di hospital.
"Tugas ini bukan pilihan tetapi satu kewajipan dalam memberikan penjagaan kesihatan kepada pesakit dan dengan itu memerlukan banyak pengorbanan oleh doktor yang perlu berada di hospital tidak kira pada hujung minggu, cuti umum mahupun ketika ada majlis keluarga. Mereka perlu diiktiraf dengan sewajarnya," katanya.
Dr Kalwinder berkata usaha mengekalkan bakat yang ada dalam perubatan adalah penting terutama dalam kalangan doktor muda kerana mereka akan menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara pada masa depan.
"Diharapkan masalah doktor kontrak dan jawatan tetap akan diselesaikan segera, selain meningkatkan peluang untuk latihan pascaijazah di dalam negara dengan memberikan pilihan kepada doktor muda memilih laluan yang sesuai untuk mereka," katanya.
Beliau berkata usaha ini perlu dilakukan dalam "situasi menang-menang" kerana negara tidak boleh lagi terus kehilangan doktor disebabkan perletakan jawatan dan penghijrahan kepakaran ke luar negara.
Selain doktor muda, beliau berharap kerajaan akan segera melihat masa depan pakar dan subpakar yang bukan sahaja memberikan penjagaan kesihatan tidak ternilai kepada pesakit tetapi juga diperlukan untuk mengajar, membimbing dan memimpin doktor muda.
"Ramai yang tersekat di Gred UD56 sejak bertahun-tahun. Justeru, lebih banyak Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) perlu diwujudkan setiap tahun bagi membuka laluan kepada mereka yang tersekat hingga sekarang," katanya.
-- BERNAMA
#tambah peruntukan kesihatan #Malaysian Medical Association #Belanjawan 2025 #Dr Kalwinder Singh Khaira #MMA
;