Kerajaan perlu lihat klausa wajibkan vaksin COVID-19 - Pakar Kesihatan

Astro Awani
Ogos 13, 2021 14:59 MYT
Zainal Ariffin memberitahu, pada satu tahap, kemungkinan dunia akan menyaksikan kemunculan varian-varian baharu yang jauh lebih berbahaya. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat klausa dalam undang-undang sedia ada bagi mewajibkan setiap golongan masyarakat menerima suntikan vaksin COVID-19.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan perlu tegas dalam isu ini kerana ia boleh menggugat kepentingan umum.
Menurutnya, golongan yang tidak mahu divaksinasi itu bukan sahaja dilihat sebagai penggugat kesihatan malah juga penggugat kepentingan umum.
"Kita kena lihat dua perkara, satu akta sedia ada, di mana mungkin ada klausa yang mewajibkan vaksin bagi masyarakat umum.
"Kita kena ada perundangan yang luas bagi memahamkan masyarakat bahawa faktor diskriminasi dengan mengehadkan pergerakan perjalanan bagi penerima yang lengkap dua dos bukan sebagai diskriminasi.
"Sebaliknya, itu pilihan masing-masing, mereka memilih untuk tidak divaksinasi, maka mereka tidak diberi peluang untuk menikmati perkhidmatan atau kemudahan yang diberikan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Vaksin COVID-19 | Demi kesihatan, wajibkan vaksin perlu?
Mengulas lanjut, Zainal Ariffin memberitahu, pada satu tahap, kemungkinan dunia akan menyaksikan kemunculan varian-varian baharu yang jauh lebih berbahaya dan justeru itu adalah penting setiap rakyat Malaysia membentuk perlindungan sendiri.
Beliau memberitahu, individu yang tidak mahu divaksinasi bukan sahaja melambatkan usaha mencapai imuniti kelompok tetapi boleh menjadi punca wujudnya varian baharu yang lebuih berbahaya.
Menurutnya, tubuh individu yang tidak divaksin tidak mempunyai daya tahan yang kuat sekali gus membiakkan jenis varian COVID-19 yang baharu.
Malah katanya, mereka yang tidak divaksinasi juga berisiko menjadi pembawa virus dan merisikokan individu yang sudah divaksinasi.
#rakyat Malaysia #undang-undang #COVID-19 #imuniti kelompok #varian baharu #vaksin #Kementerian Kesihatan #program vaksinasi #Khairy Jamaluddin
;