Kerajaan perlu lihat kembali sistem bawa masuk pekerja asing - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Ogos 2, 2022 14:59 MYT
Jelas Nazri, biarpun kemasukan pekerja asing adalah penting, namun kerajaan perlu melihat sistem yang digunakan bagi memastikan kedudukan negara mengenai Pemerdagangan Orang tidak terus jatuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa kerajaan melihat kembali sistem yang digunakan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
Hujah Mohamed Nazri, sistem sedia ada yang digunakan untuk membawa pekerja asing ke negara ini menyebabkan Malaysia berada di Tahap 3 Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang.
Jelas beliau, biarpun kemasukan pekerja asing adalah penting, namun kerajaan perlu melihat sistem yang digunakan bagi memastikan kedudukan negara mengenai Pemerdagangan Orang tidak terus jatuh.
"Saya nak minta kepada Yang Berhormat, sila lihat kepada cara kita membawa masuk pekerja kita ini yang merupakan penyumbang yang besar hari ini mengapa kita duduk di bawah Tahap 3," katanya ketika membahas sesi penerangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat berhubung Laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang.
Laporan berkenaan adalah penilaian peringkat global dilakukan Kerajaan Amerika Syarikat yang mengetengahkan empat tahap, iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3 itu dikeluarkan pada 20 Julai lalu.
Penilaian itu dilakukan ke atas 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan dengan Malaysia dinilai pada Tahap 3, tahun ini.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #JNAS #pemerdagangan orang #Hamzah Zainuddin
;