Kerajaan perlu laksana reformasi sistem perkhidmatan kesihatan

Bernama
Oktober 5, 2021 20:24 MYT
Kerajaan juga perlu mewujudkan hospital rujukan khusus atau fasiliti khusus dilengkapi dengan segala kelengkapan, termasuk peralatan ujian serta tenaga kerja dalam mendepani penyakit berjangkit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan membuat reformasi menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan kesihatan merangkumi isu berkaitan fasiliti, masalah doktor kontrak, peluang latihan kepakaran dan ketidakseimbangan nisbah doktor dengan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar, kata Senator Wan Martina Wan Yusoff.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan hospital rujukan khusus atau fasiliti khusus dilengkapi dengan segala kelengkapan, termasuk peralatan ujian serta tenaga kerja dalam mendepani penyakit berjangkit.
"Pentingnya persediaan guna tenaga dan prasarana kesihatan bagi mendepani sebarang cabaran (krisis kesihatan), justeru kerajaan perlu bersedia dengan melengkapkan semua prasarana bagi menghadapi situasi ini terutamanya dalam menggariskan pelan perancangan, pelan strategik dan pelan pengurusan risiko.
"Selain itu, kerajaan juga perlu memikirkan kes rawatan pakar yang terpaksa disumberluarkan ke hospital swasta, pembedahan elektif, rawatan ulangan ke atas pesakit kronik yang tertangguh yang bakal mengundang komplikasi yang lebih berat," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia adalah sekitar 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ini masih lagi kurang berbanding tujuh peratus yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Membangkitkan perkara sama pada sesi perbahasan itu, Senator Robert Lau Hui Yew berkata Hospital Sibu merupakan hospital rujukan utama bagi Zon Tengah Sarawak, yang memberikan perkhidmatan kepada satu juta populasi dari Kapit dan Selangau.
"Keadaan terkini di Hospital Sibu amat menyedihkan, katil tidak mencukupi untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19... ada pesakit terpaksa menunggu di wad kecemasan berjam-jam sementara menunggu katil, wad sementara sedang ditubuhkan tetapi cuma ada 28 katil unit rawatan rapi dan lebih membimbangkan kami mengalami kekurangan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan.
"Diharapkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf Hospital Sibu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di mana dalam RMK11 sejumlah RM2.83 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf hospital ini," katanya.
Senator Dr Nuing Jeluing yang senada, mencadangkan agar KKM melihat semula keperluan Sarawak untuk mempunyai tiga hospital bertaraf negeri iaitu di Sibu dan Miri selain di Kuching.
"Untuk bahagian Miri, saya cadangkan agar Poliklinik Tudan dinaik taraf sebagai hospital satelit kerana bandar raya Miri hanya ada sebuah hospital untuk penduduk lebih kurang 500,000, yang berfungsi sebagai hospital rujukan untuk Wilayah Utara merangkumi bahagian Miri dan Limbang... sekarang hospital ini ada 349 katil.
"Secara dasar saya difahamkan satu negeri hanya boleh ada satu hospital bertaraf hospital negeri, kerana itu di Sarawak hanya hospital di Kuching sahaja yang bertaraf hospital negeri, seperti Perlis ada sebuah hospital negeri namun tengok berapa besar Sarawak yang lebih kurang besar dengan Semenanjung Malaysia, jadi ini tidak berapa tepat pada hemat saya," katanya.
-- BERNAMA
#Sektor kesihatan #kemudahan #krisis kesihatan #fasiliti kesihatan #Doktor Kontrak
;